SHAH ALAM, 29 OKT: Murid sekolah rendah akan mula mempelajari asas kecerdasan buatan (AI) menerusi mata pelajaran teknologi digital dalam kurikulum persekolahan baharu mulai 2027.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata pembelajaran AI turut diperkukuh dalam mata pelajaran berkaitan di peringkat sekolah menengah, lapor Berita Harian.
Menurutnya, pengenalan asas AI bertujuan melatih murid menyemak fakta, menilai jawapan yang meragukan dan menggunakan teknologi secara berhemah.
“Panduan literasi AI KPM sudah berkuat kuasa sejak 8 Mei lalu. Panduan itu menekankan penggunaan AI secara kritis, selamat dan beretika.
“Ia juga menekankan tanggungjawab termasuk ibu bapa, pentadbir, guru, malah anak-anak dan komuniti bagi memastikan bahawa AI ini dari segi penggunaannya, digunakan dengan selamat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai perancangan Kementerian Pendidikan (KPM) mengintegrasikan literasi AI dalam kurikulum sekolah.
Fadhlina turut memaklumkan seramai 329,414 guru telah menerima latihan literasi AI setakat tahun ini sebagai persediaan memperluas penggunaan teknologi itu ke seluruh sekolah.
Katanya, latihan akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan semua guru menguasai kemahiran AI.
“KPM mendapat sokongan penuh daripada pelbagai platform untuk memastikan bahawa guru di negara ini benar-benar dilatih,” katanya.







