SHAH ALAM, 20 OKT: Menteri Pendidikan menzahirkan rasa dukacita atas pemergian murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil, Damiya Nur Mikayla, 7, yang meninggal dunia selepas dipercayai tercekik makanan semalam.
Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kejadian itu amat menyentuh hatinya, lebih-lebih lagi mengenangkan kesedihan yang ditanggung ibu bapa dan keluarga mangsa.
“Saya amat berdukacita menerima perkhabaran pemergian adik Damiya Nur Mikayla, murid Tahun Satu SK Dengkil yang baru berusia tujuh tahun.
“Hati saya cukup tersentuh apabila dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa adik Damiya semalam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata, berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak itu mengalami kesukaran bernafas dan dipercayai tercekik makanan ketika berada di sekolah.
Menurutnya, guru telah berusaha memberikan bantuan awal sebelum Damiya dibawa ke Hospital Putrajaya, namun disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.
“Saya tidak dapat membayangkan betapa beratnya kehilangan ini buat kedua-dua ibu bapa dan seluruh keluarga.
“Tiada kata yang mampu mengubat kesedihan apabila anakanda yang disayangi pergi buat selama-lamanya,” katanya.
Susulan kejadian itu, Fadhlina berkata beliau telah meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memastikan kebajikan keluarga mangsa diberikan perhatian sewajarnya.
Beliau turut meminta jabatan berkenaan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan kejadian.
Fadhlina turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat serta keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan tersebut.
Terdahulu, media melaporkan seorang murid perempuan dilaporkan mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas di SK Dengkil sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.
Mangsa, Damiya meninggal dunia di Hospital Putrajaya ketika sedang mendapatkan rawatan lanjut selepas diberikan bantuan awal pernafasan di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 malam semalam.







