Bantuan peralatan Blueprint Selangor bantu peniaga sasar gandakan jualan harian

12 Okt 2026, 1:30 PM
Bantuan peralatan Blueprint Selangor bantu peniaga sasar gandakan jualan harian
Bantuan peralatan Blueprint Selangor bantu peniaga sasar gandakan jualan harian

SHAH ALAM, 12 OKT: Daripada jualan sekitar RM500 sehari, peniaga Mohammad Noor Shaffiq Zainuddin kini menyasarkan pendapatan jualan sehingga RM1,000 selepas menerima bantuan peralatan perniagaan daripada Kerajaan Negeri.

Bantuan berupa kuali dan peti sejuk beku menerusi Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan itu membolehkannya meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Jualan harian sebelum ini sekitar RM500. Dengan bantuan peralatan yang disumbangkan, saya menyasarkan untuk mendapatkan jualan sehingga dua kali ganda,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan bantuan Program Blueprint dan Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-SEED) di Dewan Kenanga, Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, di sini, hari ini.

Aisyah Hamid

Turut menerima manfaat, peniaga nasi lemak Aishah Hamid yang memperoleh peti sejuk bagi membantu penyimpanan dan penyediaan bahan mentah perniagaannya.

Menurutnya, peralatan itu dapat meringankan beban serta membolehkannya menyediakan lebih banyak bahan untuk meningkatkan jualan.

“Dengan bantuan ini saya dapat menyediakan lebih banyak bahan untuk perniagaan nasi lemak, selain menambah pendapatan,” katanya.

Sementara itu, T Priya yang menjalankan perniagaan makanan sejuk beku dari rumah berkata bantuan periuk dan dapur gas membolehkannya menambah baik operasi pengeluaran.

T Priya

“Sebelum ini saya menjalankan perniagaan dari rumah dengan menggunakan peralatan sendiri yang terhad.

“Bantuan peralatan ini membantu mengurangkan beban saya dan saya berharap dapat menambah produk untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.

Bagi penerima bantuan I-SEED, P Rajoo pula, penjana elektrik tambahan yang diterima memberi peluang kepadanya mengembangkan perniagaan sedia ada.

Peniaga air tebu itu berkata walaupun sudah memiliki penjana elektrik, peralatan tambahan berkenaan dapat dimanfaatkan bagi menjalankan aktiviti perniagaan lain.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas bantuan ini dan berharap ia dapat memajukan perniagaan air tebu saya,” katanya.

Kedua-dua program bantuan berkenaan menyediakan peralatan kepada usahawan kecil bagi membantu memperkukuh operasi serta membuka peluang meningkatkan pendapatan mereka.

P Rajoo

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.