SHAH ALAM, 6 FEB: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.67 juta bagi Bantuan Blueprint dan RM2 juta bagi Rumah Kerajaan Prihatin (RKP) sebagai komitmen berterusan membantu rakyat yang memerlukan kediaman lebih selamat dan selesa, tahun ini.
EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata peruntukan tersebut mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan pelaksanaan bantuan dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan di semua daerah.
“Pada 3 dan 4 Februari, saya telah selesai mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bantuan Blueprint dan Rumah Kerajaan Prihatin yang melibatkan keseluruhan sembilan daerah di Selangor.
“Mesyuarat berkenaan turut dihadiri penolong pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), penolong pegawai daerah serta penghulu mukim bagi memastikan pelaksanaan bantuan diselaras secara sistematik, telus dan berkesan di peringkat daerah.
Dalam penyelarasan tersebut, beliau berkata, beberapa kelulusan bantuan telah diperincikan mengikut daerah.
Di Hulu Selangor, Bantuan Blueprint berjumlah RM126,906 melibatkan 19 penerima, manakala RKP berjumlah RM155,000 melibatkan tiga penerima.
Di Sabak Bernam, Blueprint berjumlah RM158,116 melibatkan 26 penerima, manakala RKP berjumlah RM430,000 melibatkan lapan penerima.
Bagi Sepang, Bantuan Blueprint berjumlah RM129,500 melibatkan 18 penerima, manakala tiada permohonan RKP direkodkan.
Di Petaling, RKP berjumlah RM253,000 melibatkan empat penerima, sementara Blueprint berjumlah RM41,157 melibatkan enam penerima.
Di Gombak, Blueprint melibatkan 28 penerima dengan peruntukan RM180,606.48, manakala RKP melibatkan enam penerima dengan peruntukan RM260,000.
Di Kuala Langat, RKP melibatkan 10 penerima dengan peruntukan RM542,175.78, manakala Blueprint melibatkan 27 penerima dengan peruntukan RM171,709.56.
Sementara itu, di Klang, Blueprint melibatkan 42 penerima dengan peruntukan RM298,916.94, manakala RKP melibatkan 13 penerima dengan jumlah RM605,000.
Di Hulu Langat, Blueprint melibatkan 21 penerima dengan peruntukan RM168,230.56, manakala tiada permohonan RKP direkodkan setakat ini.
Papparaidu turut memaklumkan permohonan RKP bagi Kuala Selangor dan Hulu Langat akan dibentangkan dalam Mesyuarat Bilangan Dua, manakala Sepang kekal tanpa permohonan.
“Bagi fasa pertama pelaksanaan Bantuan Blueprint, Kerajaan Negeri akan menyalurkan peruntukan melalui UPEN terus kepada pihak pembekal supaya peralatan dan keperluan peniaga kecil dapat disalurkan segera sebelum bulan Jun,” katanya.
Beliau berharap kelulusan yang telah dipersetujui dapat dipercepatkan pelaksanaannya agar manfaat bantuan benar-benar dirasai oleh rakyat yang memerlukan.
“Saya berharap segala kelulusan ini dapat dipercepatkan pelaksanaannya agar manfaat bantuan benar-benar dirasai oleh rakyat yang memerlukan, selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam agenda pembasmian kemiskinan dan peningkatan taraf hidup masyarakat,” katanya.


