Sisi peribadi seorang Sultan

31 Okt 2026, 12:00 AM
Sisi peribadi seorang Sultan
Sisi peribadi seorang Sultan
Sisi peribadi seorang Sultan

Pengalaman 27 tahun berkhidmat dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebagai juruiring memberi peluang kepada Kepten (K) Dato' Ahmad Ramli Kardi untuk mengenali keperibadian Baginda dari dekat.

Beliau yang bersara dari perkhidmatan aktif Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melihat sendiri penekanan disiplin, tatacara bekerja dan keprihatinan Baginda terhadap kehidupan rakyat jelata.

Ahmad Ramli mendapati sifat kasih terhadap rakyat antara ciri-ciri yang membentuk Sultan Sharafuddin dalam membuat sebarang pertimbangan dan keputusan.

Baginda antaranya tidak gemar apa-apa penganjuran rasmi yang menampilkan sambutan meriah tetapi membebankan orang ramai. Sultan Selangor juga mengutamakan pertemuan yang memudahkan golongan kanak-kanak berinteraksi secara langsung dalam suasana selesa.

Selain itu, Baginda tidak berkenan jika polis pengiring membunyi siren selepas jam 10.30 malam. Waktu tersebut dianggap masa berehat dan tidur. Begitu juga siang hari, bunyi itu perlu dielak di kawasan berhampiran hospital dan sekolah.

Sultan Sharafuddin sangat menepati masa. Bukan sahaja mengharapkan setiap program berlangsung mengikut jadual, malah Baginda sendiri sentiasa bersedia kira-kira 30 minit lebih awal sebelum waktu pergerakan.

Mengimbau pengalaman melawat Klang yang dijadual jam 3 petang, beliau bercerita jam di lokasi berbunyi tiga kali ketika Baginda tiba. Rakyat yang menyedari ketepatan masa itu spontan bertepuk tangan.

“Tuanku bertanya mengapa mereka berbuat demikian. Saya beritahu, Tuanku sampai tepat pada waktunya, ketika jam menunjukkan pukul tiga. Itu memang sifat Tuanku,” katanya.

Ahmad Ramli dilantik bagi memikul amanah sebagai juruiring atas cadangan Panglima Tentera Laut ketika itu, Tan Sri Abu Bakar Jamal. Pada masa tersebut, beliau sedang menjalani latihan peralihan dari perkhidmatan aktif TLDM.

Dalam wawancara terbitan SelangorFM 100.9 baru-baru ini, beliau mendedahkan detik pertama menghadap Baginda di Istana Alam Shah, Klang pada Jun 1999 sebelum memulakan perkhidmatan.

“Are you ready to become my ADC? (Kamu bersedia untuk bertugas sebagai ADC saya?)”

Itu soalan pertama yang diajukan Sultan Sharafuddin sebelum Ahmad Ramli menjawab dengan penuh ketertiban. Namun, beliau pada masa itu belum benar-benar menguasai penggunaan bahasa istana.

“Saya jawab, ‘I’m ready (Saya bersedia), Tuanku.’ Ketika itu, saya sendiri belum begitu mahir menggunakan bahasa istana. Selepas itu, saya sedar dan terus betulkan jawapan saya, ‘Ampun Tuanku, patik bersedia.’

“Jawapan Tuanku ketika itu ialah, ‘You are welcome (Kamu dialu-alukan).’ Sampai sekarang saya masih ingat pertemuan pertama itu,” katanya lagi.

Pengalaman tersebut menjadi titik permulaan kepada Ahmad Ramli dalam perkhidmatan kepada Baginda. Tanggungjawab beliau bukan hanya mengiringi pergerakan Baginda, malah mencakupi penyelarasan jadual dan urusan rasmi, pakaian majlis tertentu, kenderaan, keselamatan dan pematuhan protokol.

Tugasnya pula bukan sekadar melakukan perkara yang telah dinyatakan secara jelas sebaliknya menuntut kecekapan dalam memahami kehendak Baginda supaya segala urusan berjalan lancar.

“Tugas ADC ini sebenarnya tidak tertulis semuanya. Kita harus pandai membaca apakah yang dikehendaki oleh Tuanku," katanya yang turut menjadi penghubung untuk menyampaikan titah tertentu.

Berdasarkan pengalamannya, beliau mendapati Baginda kerap memikirkan masalah rakyat dan pelbagai isu berkaitan negeri termasuk perkara-perkara lain yang mungkin dianggap kecil di mata orang lain.

Ahmad Ramli juga menyifatkan Sultan Sharafuddin sebagai pemimpin diraja yang tidak suka amalan kerja bertangguh tanpa sebarang alasan munasabah. Perkara berkenaan disifatkan Baginda sebagai sebahagian disiplin dalam urusan pentadbiran.

Setakat ini, beliau menyaksikan banyak hasrat Tuanku telahpun menjadi realiti. Namun, beliau percaya masih ada perkara belum tercapai antaranya impian melihat Sungai Klang kembali bersih, kawasan hijau bertambah, persekitaran bebas sampah dan masalah banjir ditangani lebih berkesan.

Pencinta ilmu

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad pula mendedahkan Sultan Sharafuddin seorang pencinta buku dan perkembangan ilmu pengetahuan.

Semangat kecintaan itu terserlah, bahkan diterjemah melalui pembinaan Pustaka Raja Tun Uda. Baginda percaya pendidikan berupaya mengubah garis kehidupan rakyat sekali gus membina masa depan generasi muda.

Mengenang rancangan awal pembinaan pustaka tersebut, Mastura memberitahu pembinaan monumen bernilai RM5 juta asalnya dicadangkan pada 2005 bagi memperingati kemajuan negeri tetapi Baginda tidak berkenan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) dan Dato' Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi (kiri) serta Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad. berkenan berangkat pada Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2024 di Setia City Convention Centre pada 27 Nov 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Sebaliknya, Baginda lebih berminat untuk membina perpustakaan awam yang serba lengkap bagi meningkatkan pengetahuan dan tahap intelektual masyarakat, khususnya anak-anak Selangor.

“Tuanku bertanya, buat apa membina monumen? Itu satu pembaziran. Baginda mahu peruntukan itu digunakan untuk membina perpustakaan awam yang lengkap sebagai hadiah kepada rakyat,” katanya mengimbau hasrat Baginda yang membawa kepada pembinaan pustaka itu di Seksyen 13, Shah Alam.

Titah itu disifatkan Mastura membawa iktibar mendalam betapa kemajuan sebenar sesebuah negeri bukan terletak pada monumen kaku sebaliknya pada ketinggian ilmu dan intelek masyarakatnya.

“Tuanku mahu perpustakaan ini menjadi hadiah kepada rakyat. Baginda percaya pendidikan mampu meningkatkan kehidupan masyarakat, khususnya anak-anak Selangor,” katanya kepada Media Selangor.

Pustaka berkenaan kemudian didirikan melalui peruntukan negeri RM70 juta dan dibuka mulai 22 Julai 2011 sebelum berkembang maju sebagai antara institusi ilmu penting di Selangor.

Selepas lebih sedekad, pustaka itu terus memainkan peranan dalam menyediakan ruang kepada segenap lapisan rakyat untuk membaca, belajar dan mendapatkan akses pelbagai bahan berilmu.

Menurut Mastura, Baginda juga berpesan supaya setiap sumbangan buku direkod dan diberi pengiktirafan sewajarnya selain menekankan kepentingan menjaga buku supaya boleh digunakan generasi seterusnya.

Pelihara warisan

Pengurus Besar Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Shah, Dato’ Munasor Aliyasak pula mendedahkan penglibatan langsung Baginda dalam membangunkan galeri berkenaan demi memelihara warisan negeri.

Dari menyemak ejaan keterangan bahan pameran hingga menentukan kedudukan ribuan artifak. Baginda bukan hanya memberi perkenan, malah terlibat dalam menyusun atur kandungan galeri.

Pengurus Besar Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Dato’ Munasor Aliyasak berucap sempena Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA) – Edisi Jubli Mutiara 30 Tahun di Geleri Shah Alam, Shah Alam pada 7 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Ketelitian tersebut bertujuan memastikan semua maklumat sejarah yang disampaikan melalui galeri tersebut berasaskan fakta dan mudah difahami segenap lapisan rakyat jelata.

“Kalau Baginda rasa ada sesuatu yang tidak betul, baginda akan terus pergi ke tempat itu dan minta kami semak semula. Daripada lebih seribu barang yang kita ada di galeri, dengan kapsyen masing-masing, Tuanku boleh tunjuk barang yang dirasakan tidak betul.

"Apabila kami semak semula, memang ada kesilapan, termasuk ejaan dan nama yang sebenarnya tidak wujud seperti yang kami tulis,” katanya dalam satu lagi wawancara berasingan terbitan SelangorFM 100.9.

Pengalaman tersebut dianggap Munasor sebagai prinsip utama pengurusan galeri iaitu ketepatan fakta sama sekali tidak boleh dikompromi. Selain itu, Baginda banyak memberi pandangan berkaitan perancangan pameran, pemilihan bahan pameran, gambar dan dokumen bersejarah.

“Visi Tuanku untuk menjadikan galeri ini lebih mudah diakses supaya semua rakyat jelata boleh datang dengan senang. Penceritaannya perlu menunjukkan bagaimana Kesultanan Selangor bermula dan berkembang,” katanya.

Sultan Sharafuddin juga mengambil berat penjagaan artifak dan keadaan galeri. Seramai 12 kakitangan bertanggungjawab menguruskan keselamatan, penyelenggaraan koleksi serta pelbagai urusan berkaitan pengunjung.

Baginda mahu memastikan rakyat jelata berpeluang mengenali sejarah serta peranan institusi Kesultanan Selangor dalam proses pembangunan negeri.

Munasor juga mengimbau titah pesanan Baginda ketika perasmian galeri yang memberi penekanan terhadap kepentingan mengekalkan mutu penyelenggaraan.

“Tuanku pernah berpesan ketika perasmian, ‘Ini hari perasmian, tetapi setiap kali saya datang, keadaan kena macam ini.’ Maksudnya, keadaan galeri mesti terus berada pada standard sama, bukan cantik pada hari perasmian sahaja,” katanya.

Di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, tersimpan pelbagai koleksi menarik yang dipertontonkan kepada umum sebagai warisan sejarah negeri. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Justeru, galeri itu bukan sekadar pameran artifak tetapi ruang untuk rakyat memahami sejarah, menghargai legasi dan mengenali perjalanan Kesultanan Selangor merentasi generasi.

Penglibatan Baginda dalam acara kebudayaan seperti sambutan Tahun Baharu Cina juga dipamer di galeri tersebut. Buku nadir, manuskrip lama, peta, keris dan hasil seni masyarakat Orang Asli Mah Meri milik Tuanku juga diperaga.

Galeri itu bermula sebagai Muzium Kenangan yang menghimpunkan koleksi peribadi Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang dibuka pada 8 Mac 1999 di Kampung Jawa, Klang.

Apabila Sultan Sharafuddin menaiki takhta pada 2001, Baginda membuka galeri baharu di Bangunan Sultan Suleiman, Klang.

Kesejahteraan rakyat

Sementara itu, EXCO Pelaburan, Ng Sze Han memberitahu Baginda sering memberi peringatan supaya pembangunan ekonomi negeri perlu membawa kepada kesejahteraan rakyat sepanjang 25 tahun memerintah Selangor.

Di samping itu, Sultan Sharafuddin juga kerap memberi penekanan kepada pentadbiran negeri untuk menangani masalah banjir supaya keselamatan dan kesejahteraan rakyat terjamin.

"Titah Tuanku mengenai isu banjir sentiasa berada dalam ingatan patik. Sepanjang tahun 2024 dan 2025, di Kinrara, kawasan yang memberikan patik peluang untuk berkhidmat dalam pentadbiran negeri Tuanku, sebanyak RM13.93 juta telah dibelanjakan bagi projek mitigasi banjir," katanya.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata institusi diraja terus menjadi lambang kesinambungan sejarah dan payung perpaduan rakyat berbilang kaum serta agama di negeri ini.

Beliau berharap Selangor terus berkembang maju, makmur dan harmoni bawah naungan Sultan Sharafuddin demi membina masa depan lebih baik untuk generasi akan datang.

“Kemajuan sebenar sesebuah negeri bukan sahaja diukur melalui pembangunan ekonomi, tetapi juga melalui keupayaan membela golongan yang memerlukan, menyediakan peluang pekerjaan dan memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat pembangunan,” katanya.

Bagi Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), sambutan 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin bukan sekadar menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Baginda, malah menjadi peringatan kepada pihak berkuasa tempatan untuk meneguhkan integriti, kelestarian dan kesejahteraan rakyat.

Interceptor berfungsi dangan cara memanfaatkan arus sungai bagi memerangkap sampah sarap terapung di Sungai Klang. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menurut Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain, pembangunan bandar berkenaan perlu berkembang pesat hasil panduan titah Baginda yang sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan lestari dan kesejahteraan masyarakat.

“Tuanku sangat prihatin terhadap permasalahan masyarakat. Sebagai pihak berkuasa tempatan, kami sentiasa menjunjung titah baginda supaya setiap pelaksanaan berpaksikan pembangunan lestari yang membawa kesejahteraan kepada penduduk,” katanya.

Baginda dilihat kerap menekankan kepentingan integriti dalam kalangan penjawat awam supaya setiap tugas dilaksanakan dengan jujur dan cekap, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat.

Sempena sambutan Jubli Perak pula, MBDK menyusun beberapa program dengan memanfaatkan peruntukan sedia ada, selaras titah Baginda supaya sambutan diadakan secara sederhana tanpa pembaziran.

Menurut Abdul Hamid, program seni, budaya dan sukan yang dirancang turut menjadi saluran untuk menghimpunkan masyarakat bagi merai ulang tahun bersejarah itu.

MBDK turut membantu menjayakan program yang diatur Kerajaan Negeri antaranya sesi bersama rakyat di kawasan istana yang melibatkan pelbagai kelompok masyarakat termasuk orang kurang upaya, penjawat awam dan pesara.

Sambutan tersebut bukan hanya acara memperingati tempoh pemerintahan Baginda tetapi mengingatkan MBDK supaya meningkatkan mutu perkhidmatan dan menangani isu yang dekat dengan kehidupan penduduk.

Kebersihan bandar, pengurusan sampah dan usaha mengurangkan risiko banjir kekal antara cabaran utama, terutama dengan keluasan kawasan pentadbiran, kegiatan industri serta kesibukan Pelabuhan Klang.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.