SHAH ALAM, 29 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru rakyat supaya tidak hanya bergantung kepada maklumat daripada video pendek di media sosial yang belum tentu sahih dan lengkap.
Sebaliknya, Baginda bertitah masyarakat perlu merujuk sumber berautoriti dan mendapatkan bimbingan ilmuwan yang diiktiraf, selain memanfaatkan kemudahan digital untuk mendalami serta mengamalkan ilmu.
“Kepada para ilmuwan sekalian, Beta menaruh harapan agar pertemuan ini dapat menghasilkan rumusan yang bernilai, serta diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan kepada generasi muda. Manfaatkanlah kemudahan digital untuk mendalami ilmu dan mengamalkannya.
“Janganlah sekadar bergantung kepada cebisan maklumat daripada video-video pendek yang belum tentu sahih dan lengkap, sebaliknya rujuklah kepada sumber yang berautoriti dan bergurulah dengan para ilmuwan yang diiktiraf,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika merasmikan Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj 2026 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Baginda turut berkenan melancarkan buku Sheikhul Islam dan Mufti-Mufti Selangor (1930 hingga 2021), Kompilasi Artikel Fatwa Tahun 2001–2005 (Jilid 1) serta Sistem e-Fatwa Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menyeru seluruh rakyat supaya terus memelihara perpaduan dan menghormati institusi yang diamanahkan mengurus hal ehwal Islam di Selangor.
Baginda turut mengingatkan masyarakat agar meneliti sejarah secara jujur, membahaskan perbezaan dengan penuh adab serta mengemukakan cadangan berdasarkan realiti.
“Kepada seluruh rakyat Beta, peliharalah perpaduan serta hormatilah institusi yang diamanahkan mengurus hal ehwal Islam. Telitilah sejarah dengan jujur, bahaskanlah perbezaan dengan adab dan kemukakanlah cadangan yang berpijak kepada realiti,” titah Baginda.

Terdahulu, keberangkatan Sultan Sharafuddin diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin; Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah serta Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Turut berangkat Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah. Hadir sama Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.
Multaqa anjuran Jabatan Mufti Negeri Selangor yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan kira-kira 2,000 peserta terdiri daripada agamawan, penjawat awam dan pelajar institusi agama Islam.







