Sultan Selangor lambang perpaduan, kestabilan sepanjang 25 tahun pemerintahan

28 Okt 2026, 12:00 PM
Sultan Selangor lambang perpaduan, kestabilan sepanjang 25 tahun pemerintahan
Sultan Selangor lambang perpaduan, kestabilan sepanjang 25 tahun pemerintahan
Sultan Selangor lambang perpaduan, kestabilan sepanjang 25 tahun pemerintahan

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Institusi raja berperlembagaan kekal menjadi tunjang utama perpaduan, warisan dan kesinambungan ketika wujudnya pergeseran politik dan perbezaan sosial.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai berkata institusi itu terus memainkan peranan penting dalam menyatukan rakyat tanpa mengira kepentingan kepartian.

“Walaupun kita kini berada pada 2026 dan ada pihak yang mengatakan peranan monarki berperlembagaan sudah ketinggalan zaman, namun bagi saya institusi ini melambangkan warisan, sejarah dan kesinambungan.

“Apabila kita hilang keyakinan terhadap ahli politik, kita menaruh harapan kepada raja. Kita bertuah mempunyai raja yang berani menyuarakan perkara yang enggan disuarakan oleh ahli politik kerana kepentingan politik. Mereka (raja) sebenarnya bersuara bagi pihak kita, khususnya untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.

Chun Wai berkata demikian ketika mengulas mengenai penerbitan buku mewah oleh Bernama yang bertajuk “Payung Mahkota Selangor: 25 Tahun di Singgahsana” dalam program The Nation terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Mengenai pemerintahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selama 25 tahun, beliau berkata baginda konsisten memainkan peranan sebagai tokoh penyatuan dalam masyarakat yang semakin berpolarisasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz berkenan bertitah ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun di Istana Alam Shah, Klang pada 25 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Tuanku ialah lambang perpaduan dan warisan. Baginda mewakili kestabilan,” katanya.

Beliau berkata sepanjang 17 temu bual eksklusif yang dilakukannya bersama Sultan Sharafuddin selama ini, Baginda konsisten menekankan prinsip yang sama, iaitu mengutamakan rakyat, memelihara perpaduan dan memastikan kepelbagaian masyarakat di Selangor terus menjadi sumber kekuatan, bukannya perpecahan.

Chun Wai berkata perkara yang paling meninggalkan kesan sepanjang pertemuan itu ialah keprihatinan yang mendalam Baginda terhadap kebajikan rakyat, termasuk perkara yang dianggap remeh.

“Bagi Baginda tiada masalah yang remeh. Baginda membaca semua e-mel dan surat yang diutus oleh rakyat, sama ada berkaitan lampu isyarat, banjir atau isu kebersihan, dan Baginda memastikan isu berkenaan diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata Sultan Sharafuddin sentiasa menyedari batas kuasa baginda sebagai pemerintah berperlembagaan, yang berperanan memberikan panduan dan bukannya campur tangan.

“Baginda telah menjelaskan pendirian bahawa tidak mencampuri urusan pentadbiran. Apabila Baginda bertitah ia suatu nasihat, bukannya suatu dekri.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan beramah mesra bersama anak-anak yatim ketika Majlis Jamuan Teh Diraja bersama Anak Yatim dan Spastik sempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, Klang pada 22 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Baginda merasakan bahawa baginda bertanggungjawab memimpin negeri ini. Baginda menjadi panduan dan sumber inspirasi kepada Selangor,” katanya.

Menurutnya, Sultan Sharafuddin juga menerapkan nilai rendah hati dalam kepimpinan baginda serta sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan orang lain, iaitu nilai yang disemai sejak usia muda selepas Baginda dilantik sebagai Raja Muda pada usia 15 tahun.

Beliau berkata Sultan Sharafuddin juga sering mengingatkan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah supaya sentiasa merendah diri, meminta nasihat dan mengutamakan rakyat.

“Walaupun sebagai pemerintah, baginda tidak beranggapan bahawa ‘kedudukan baginda lebih tinggi daripada orang lain’. Baginda sentiasa meminta pandangan orang lain,” katanya.

Bersempena dengan sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor, Chun Wai berkata kepimpinan Baginda yang konsisten serta penekanan terhadap perpaduan terus memberikan keyakinan dan kelegaan kepada rakyat negeri itu.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.