Sultan Selangor berkenan rasmi Multaqa, lancar buku sejarah mufti dan fatwa

29 Okt 2026, 5:31 AM
Sultan Selangor berkenan rasmi Multaqa, lancar buku sejarah mufti dan fatwa
Sultan Selangor berkenan rasmi Multaqa, lancar buku sejarah mufti dan fatwa
Sultan Selangor berkenan rasmi Multaqa, lancar buku sejarah mufti dan fatwa

SHAH ALAM, 29 OCT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj 2026 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Bertemakan Legasi Kesultanan Selangor Dalam Memperkasakan Islam Di Alam Melayu, program itu turut menyaksikan Baginda berkenan melancarkan dua buku berkaitan sejarah institusi mufti dan fatwa Selangor serta Sistem e-Fatwa Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Keberangkatan Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin; Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah serta Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Turut berangkat Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah. Hadir sama Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj 2026 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 29 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan titah perasmian sebelum menyempurnakan pelancaran buku Sheikhul Islam dan Mufti-Mufti Selangor (1930 hingga 2021) serta Kompilasi Artikel Fatwa Tahun 2001–2005 (Jilid 1).

Baginda turut berkenan mendengar syarahan utama bertajuk Legasi Kesultanan dalam Perkembangan dan Pemerkasaan Islam di Alam Melayu yang disampaikan tokoh dakwah terkenal Indonesia, Prof Dr Abdul Somad Batubara.

Sementara itu, Anhar dalam ucapannya berkata, penerbitan buku biografi Sheikhul Islam dan Mufti-Mufti Selangor bertujuan merakamkan ketokohan, keilmuan serta sumbangan Sheikhul Islam dan mufti-mufti Selangor pertama hingga keenam dalam perkembangan Islam di negeri ini.

Menurutnya, buku Kompilasi Artikel Fatwa Tahun 2001–2005 (Jilid 1) pula menghimpunkan huraian dan kupasan persoalan hukum syarak berkaitan kehidupan umat Islam berdasarkan fatwa yang diputuskan sepanjang tempoh berkenaan.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melancarkan dua buku berkaitan sejarah mufti dan fatwa Selangor serta Sistem e-Fatwa pada Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj 2026 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 29 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Terbitan Kompilasi Artikel Fatwa ini merupakan cetusan idea dan titah Tuanku Sultan Selangor bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap proses penetapan dan sandaran sesuatu fatwa, berasaskan hujjah dan dalil-dalil syarak.

“Manakala, pembangunan Sistem e-Fatwa pula diharap dapat meningkatkan kecekapan pengurusan dan capaian rekod, selain berpotensi diperkasakan melalui teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Multaqa anjuran Jabatan Mufti Negeri Selangor yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan kira-kira 2,000 peserta terdiri daripada agamawan, penjawat awam dan pelajar institusi agama Islam.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.