SHAH ALAM, 29 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan azam untuk terus memelihara Islam menerusi pengukuhan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, kewibawaan fatwa, pentadbiran Islam, pendidikan serta pengembangan ilmu.
Baginda bertitah, institusi Kesultanan Melayu khususnya Kesultanan Selangor sejak dahulu bukan sekadar lambang pemerintahan, malah berperanan sebagai benteng dalam melindungi agama Islam.
“Sejarah tidak wajar hanya dibaca sebagai kisah kejayaan yang terpisah daripada ujian. Kesultanan Melayu terdahulu berhadapan dengan pelbagai cabaran.
“Walaupun bentuk pemerintahan berubah, amanah memelihara Islam terus dipertahankan. Di sinilah terletaknya kekuatan sebenar sesebuah legasi,” titah Baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika merasmikan Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj 2026 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Baginda turut berkenan melancarkan buku Sheikhul Islam dan Mufti-Mufti Selangor (1930 hingga 2021), Kompilasi Artikel Fatwa Tahun 2001–2005 (Jilid 1) serta Sistem e-Fatwa Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Dalam pada itu, Sultan Selangor bertitah legasi Kesultanan Selangor dalam memperkasakan Islam berpaksikan tiga teras utama yang perlu terus diperkukuh secara bijaksana mengikut tuntutan zaman.
Titah Baginda, teras pertama membabitkan kesinambungan pemerintahan dan usaha memartabatkan Islam, manakala teras kedua menekankan dukungan terhadap sistem pendidikan yang menyeluruh serta bersepadu.
“Ketiga, pembinaan institut yang menterjemahkan hukum syarak kepada dasar, fatwa dan perkhidmatan untuk rakyat,” titah Baginda.
Sultan Sharafuddin turut menegaskan bahawa ulama dan umara (golongan pemimpin) mempunyai peranan berbeza, namun saling melengkapi dalam memperkukuh kedudukan Islam.

Baginda bertitah, Raja berperanan memberikan naungan dan dukungan institusi, manakala ulama perlu berani menyampaikan nasihat yang benar tanpa dipengaruhi kepentingan yang boleh mencemarkan martabat ilmu.
“Hubungan yang baik bukanlah hubungan yang menutup ruang teguran, tetapi hubungan yang memelihara adab, menghormati bidang kuasa dan mendahulukan kepentingan ummah,” titah Baginda.
Multaqa anjuran Jabatan Mufti Negeri Selangor yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan kira-kira 2,000 peserta terdiri daripada agamawan, penjawat awam dan pelajar institusi agama Islam.







