SHAH ALAM, 29 OCT: Kekangan ruang tanah perkuburan Islam di Kuala Lumpur mendorong Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melaksanakan projek perintis kaedah kubur bertingkat bagi jenazah tanpa waris.
JAWI memaklumkan kaedah itu mula diperkenalkan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS), Kepong pada Selasa sebagai alternatif menangani masalah kapasiti pengebumian di ibu negara.
Menurutnya, pelaksanaan kaedah berkenaan menggunakan mesin takal yang dibangunkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur bagi memudahkan proses menurunkan jenazah ke liang lahad.
"Dalam kaedah berkenaan, jenazah pertama diturunkan menggunakan pengusung kain kendong bertali dengan bantuan mesin takal, manakala dua atau tiga petugas berada di dalam kubur untuk menyambut jenazah.
"Selepas jenazah pertama diletakkan, alat penahan runtuhan tanah diangkat sebelum liang lahad ditutup dengan papan. Mesin takal kemudian dialihkan dan tanah dikambus sehingga kadar lima kaki dari aras liang lahad.
"Liang lahad kedua sedalam dua kaki kemudian digali di sebelah kiri menghadap kiblat sebelum jenazah kedua diturunkan menggunakan mesin takal dan ditutup dengan papan lahad serta dikambus sehingga ke permukaan asal," katanya dalam kenyataan.

JAWI menjelaskan penggunaan peralatan itu dapat meningkatkan kecekapan proses pengebumian, selain memudahkan tugas petugas di lapangan.
Pada masa sama, jabatan itu terus meneroka penggunaan teknologi dan peralatan bersesuaian bagi menambah baik pengoperasian tanah perkuburan Islam.
Langkah berkenaan bertujuan memastikan pengurusan jenazah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, tertib serta mematuhi tuntutan syarak.
Sebelum ini, media melaporkan tanah perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka hanya mampu menampung pengebumian sehingga 2029 berdasarkan kapasiti sedia ada.
Pada November 2025, JAWI bersama Universiti Sains Malaysia (USM) turut dilaporkan menjalankan kajian bagi merangka garis panduan pelaksanaan kubur bertingkat di Wilayah Persekutuan sebagai alternatif menangani kekurangan ruang tanah perkuburan.







