Jawi antara tulisan terawal dan berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai dan kemudiannya disebarkan ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor serta Aceh pada abad ke-17.
Bukti kewujudannya di Tanah Melayu dikesan hasil penemuan Batu Bersurat Terengganu bertarikh 702H atau 1303M manakala tulisan Rumi paling awal ditemui pada akhir kurun ke-19.
Penemuan artifak itu membuktikan jawi digunakan lebih awal berbanding tulisan rumi di negara ini, bahkan ia tulisan rasmi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British.
Seiring peredaran zaman, tulisan warisan berkenaan berdepan cabaran besar bahkan semakin lama, semakin dipinggirkan khususnya kalangan generasi muda.
Kemahiran menulis dan membaca pada peringkat rendah dan sebahagiannya diteruskan ke sekolah agama atau pondok memberikan nadi baharu buat tulisan jawi untuk terus diingati dan diamal.
Menyedari jurang kemahiran tulisan Jawi dalam kalangan murid, guru bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Bawang K9, Beluran di Sabah mengambil inisiatif mencipta aplikasi interaktif Pantas Baca Jawi (PASCA-ج).
Berdepan kesukaran mengajar modul jawi kepada pelajar bukan Islam, Lorenica Frenila Masundim, 35, tidak menjadikannya alasan sebaliknya membangunkan aplikasi yang membantu pelajar memahami dan mahir tulisan jawi dalam tempoh lima hari.
“Memang agak mencabar terutama kepada murid bukan beragama Islam yang hanya kenal tulisan jawi bermula usia 10 tahun. Dari situ mendorong saya untuk menghasilkan inovasi ini untuk membantu menguasai kemahiran membaca jawi dengan pantas dan mudah.
“Aplikasi ini juga alat bantuan mengajar serta menjadi bahan untuk memudahkan murid lebih memahami tulisan jawi selain manfaat masyarakat juga,” kata guru berketurunan Rungus itu kepada Media Selangor.
Dengan bantuan dua rakan setugas Alexius Jillyne Engkamat (penolong kanan hal ehwal murid) dan guru pendidikan Islam Noorhazierra Latuwoh serta beberapa tokoh akademik, mereka membangunkan aplikasi berkenaan sejak awal tahun ini.
Ia juga menjadi bahan kajian Lorenica yang menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah.

Tanggungjawab kepada masyarakat
Meski bukan beragama Islam, Lorenica berasa bertanggungjawab untuk memperkasa dan memastikan tulisan jawi tidak pupus ditelan zaman serta dikuasai rakyat Malaysia berbilang latar belakang.
Anak kelahiran Paitan, Sabah itu sering berkongsi penggunaan aplikasi PASCA-جج dalam sesi pembelajaran melalui TikTok dan Facebook miliknya iaitu ‘Loren Fren’ bagi memberi pendedahan kepada masyarakat umum.
Ketika ini aplikasi PASCA-جج boleh dilayari menerusi pautan sites.google.com/moe-dl.edu.my/pantas-baca-jawi-pascaj/home atau muat turun percuma melalui aplikasi Android.
“Sebenarnya aplikasi ini belum siap sepenuhnya. Bagi pengguna Apple, mereka belum boleh muat turun. Mungkin awal tahun depan, ia dapat digunakan secara penuh semua pihak,” kata Lorenica.
Usaha Lorenica memartabat penulisan jawi bersama kumpulannya meraih anugerah khas Pertandingan Inovasi Alam Melayu Antarabangsa (IMAN25) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 3 November.
Malah, draf pertama aplikasi itu juga menerima Anugerah Perak dalam Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Antarabangsa 2025 (i-TLIC) anjuran Persatuan Penyelidik dan Khidmat Sosial Malaysia (AMRASS).
“Pengiktirafan ini satu batu loncatan kepada saya dan rakan-rakan untuk membangunkan modul pembelajaran berkualiti menerusi aplikasi PASCA-جج sehingga ke tahap lebih baik,” katanya.


