Motac, Tourism Malaysia nafi terlibat acara lelaki berpakaian wanita

26 Dis 2025, 12:00 PM
Motac, Tourism Malaysia nafi terlibat acara lelaki berpakaian wanita

SHAH ALAM, 26 DIS: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta Tourism Malaysia menegaskan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penganjuran acara Miss & Mister Celebrity International 2025 yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Tourism Malaysia memaklumkan pihaknya mengesan penggunaan logo korporat Tourism Malaysia dan logo kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) dalam bahan promosi acara tersebut tanpa kebenaran bertulis rasmi.

“MOTAC dan Tourism Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi, tafsiran awam atau liabiliti yang timbul daripada penganjuran acara berkenaan atau penggunaan logo rasmi tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Agensi itu turut menegaskan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap penganjur bagi melindungi hak harta intelek, integriti jenama dan identiti korporat rasmi Tourism Malaysia.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 27 saat dan beberapa gambar memaparkan seorang lelaki berpakaian gaun wanita menerima sijil penghargaan dalam acara bertaraf antarabangsa itu.

Isu itu turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.

Menurut Dr Zulkifli, pihaknya memandang serius isu tular itu kerana ia mengundang reaksi negatif masyarakat serta mencabar sensitiviti agama dan norma budaya negara.