Keris cenderamata simbolik bermakna

30 Okt 2026, 12:00 AM
Keris cenderamata simbolik bermakna
Keris cenderamata simbolik bermakna
Keris cenderamata simbolik bermakna

Keris yang dipersembah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sempena ulang tahun ke-25 pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melambangkan tradisi dan warisan negeri ini.

Bermula hulu hingga hujung bilah selain sarung, setiap inci keris berkonsep bilah Semenanjung itu sarat membawa simbolik negeri selain mencerminkan tempoh pemerintahan Baginda.

Menurut Prof Dato’ Dr Abdul Mu’ati @ Zamri Ahmad, senjata jenis tikam sepanjang 25 inci itu sebagai perlambangan pemerintahan Sultan Sharafuddin sejak 2001 hingga tahun ini.

Proses menyiapkan Keris Jubli Perak sempena 25 pemerintahan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

“Keris ini memiliki 25 lok (lekuk) yang setiap satunya diibarat bilangan tahun pemerintahan Baginda, merentasi masa lalu dan masa kini, selain membawa harapan untuk masa hadapan.

“Lok itu menggambarkan liku-liku didepani Tuanku termasuk krisis Covid-19 dan bencana,” katanya yang juga Felo Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Usaha itu digerakkan Dr Abdul Mu’ati bersama tiga individu lain iaitu Engku Panglima Setia Diraja Dato’ Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail, Dato’ Ar Wan Burhanuddin Wan Hassan dan Dato’ Mohamed Raffe Chekku dan diterajui Yayasan Rafulin.

Proses menempa keris tersebut melibatkan empat tenaga artisan dan tukang mahir di Pantai Timur, semuanya terkenal dalam industri seni pertukangan tradisional.

Proses bermula dengan mendapatkan khidmat tukang empu keris berpengalaman dari Kuala Terengganu, Abu Bakar Md Amin atau lebih dikenali dalam kalangan penduduk setempat atas nama Awang Soh.

Awang Soh, kini berusia kira-kira 90 tahun dan berpengalaman lebih 70 tahun, kerap menjadi pilihan keluarga diraja ekoran hasil seni pertukangannya halus dan bermutu tinggi.

“Kami sampaikan hasrat dan dia bersetuju. Dia teruja cuma minta masa kerana proses penghasilan keris ini perlukan masa. Sebab bilah keris ini kena campurkan tujuh besi pa (huruf Jawi) sebagai penyatuan kekuatan.

“Dalam kalangan peminat seni keris, mereka tahulah jenis besi pa antaranya paku, pagar, payung. Kita minta dia buat 25 inci sebab ini sebagai cenderamata, bukan untuk pertarungan,” katanya.

Sepanjang proses tempaan, mereka kerap berulang-alik ke Kuala Terengganu bertujuan memantau setiap peringkat pembuatan bilah meliputi proses membakar, mengetuk, mencanai dan menempa besi bagi memastikan hasil kerja terbaik untuk dipersembah kepada Sultan Selangor.

“Awang Soh dibantu anaknya, Azizul. Selepas bilah siap ditempa, ia perlu melalui proses mencanai dan menghaluskannya. Hampir setahun juga proses ini berjalan kerana hendak tempa besi hingga membentuk bilah keris.

“Bilah ini lebih menampilkan ciri-ciri Semenanjung, namun turut dipengaruhi reka bentuk bilah Bugis. Ini bermakna bilah tersebut tidak ada lurah dan tulang seperti bilah Jawa,” katanya.

Tatahan batu permata yang menghiasi Keris Jubli Perak sempena 25 pemerintahan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

Menurut Dr Abdul Mu’ati yang pernah menghasilkan beberapa buku berkaitan keris, proses seterusnya melibatkan pencarian tukang hulu keris memandangkan Awang Soh tidak sempat menyiapkannya ekoran kekangan masa.

Atas saranan Awang Soh, mereka menemui Mohamad Jusoh di Besut,Terengganu. Hasil perbincangan, mereka bersetuju memilih kepala helang putih iaitu burung rasmi Selangor sebagai reka bentuk hulu.

Kayu Kemuning Hitam dipilih kerana ada nilai tersendiri dalam tradisi persenjataan warisan Melayu. Kayu berkenaan dipercayai memiliki khasiat perubatan tradisional termasuk penawar luka atau gigitan haiwan berbisa.

“Sejak zaman dahulu, hulu keris lazimnya dihasil daripada gading gajah tetapi Tuanku sudah memaklumkan Baginda tidak mahu kerana beranggapan seperti melakukan penganiayaan kepada haiwan terbabit.

“Jadi kita elakkan. Kita cari alternatif lain pilih Kemuning Hitam. Ini memang biasa digunakan pembuat keris kerana khasiatnya. Bila asah, habuk kayu boleh ditempel di luka atau gigitan binatang bisa sebagai penawar dalam amalan perubatan tradisional,” katanya.

Selesai pencarian tukang bilah dan hulu, tumpuan mereka beralih kepada sarung keris untuk melengkapkan cenderamata untuk dipersembah kepada Sultan Sharafuddin pada awal Oktober.

Dr Abdul Mu’ati memberitahu tanggungjawab tersebut digalas Rusdi Abdul Hamid, seorang artisan di Besut, Terengganu, yang memiliki pengalaman luas dalam seni pembuatan sarung keris.

Bagi memastikan hasil terbaik, Rusdi difahamkan mencari tanduk kerbau hingga ke Thailand bagi menghasilkan sarung serunai panjang, sekali gus melengkapkan keunikan Keris Jubli Perak.

“Kenapa guna tanduk kerbau? Kerana melambangkan ketahanan dan kehalusan seni pertukangan. Mungkin ada yang bertanya kenapa tidak buat dari kayu kemuning? Sebenarnya material ini boleh menumpulkan bilah keris.

“Bila semua bahagian siap, kita perlukan sampir (hiasan perak) dan pendokok (hiasan antara hulu dan bilah). Atas saranan Abu Bakar, kita bertemu Mohamad Mat Ali di Kota Bharu, Kelantan,” katanya.

Pembuatan Keris Jubli Perak khas bagi memperingati 25 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Foto Facebook Selangor Royal Office

Tukang berusia lebih 90 tahun itu turut menghasilkan ukiran hiasan pada sarung keris. Setiap corak membawa maksud tersirat dan berkait rapat dengan tradisi warisan di negeri ini.

“Dia buat ukiran bunga Melayu jenis Sulur Kacang. Setiap satunya ada falsafah dan makna tersendiri. Dia juga buat pendokok daripada perak dan kita minta buat bunga tanjung sembilan kelopak kerana itu bunga rasmi Selangor,” katanya.

Selepas keris berkenaan siap, proses melengkapkan keris diteruskan dengan kerja menatah permata manikam. Pemasangan beberapa jenis batu permata berharga antaranya berlian, nilam dan delima dijalankan di Bangsar, Kuala Lumpur.

Hiasan pada sarung berkenaan ditatah dengan permata berbeza warna bagi menggambarkan bendera sembilan daerah di negeri ini, bermula Klang yang berstatus daerah diraja.

“Ini bukan keris biasa, sebaliknya dihasilkan khusus sempena 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor. Oleh itu, setiap perinciannya ada makna tersendiri. Kami tidak mahu keris ini hanya berwarna hitam.

“Sebab itu, (kita) gunakan batu permata manikam untuk menyerlahkan nilai dan keistimewaannya. Pada bahagian mata helang di hulu keris, turut ditatah batu delima Burma seberat tiga karat.

“Dengan itu, lengkaplah keris cenderamata untuk Tuanku. Keris ini bukan untuk menggantikan keris istiadat atau kegunaan lain, sebaliknya khusus sebagai cenderamata,” katanya.

Keris itu dipersembah kepada Sultan Sharafuddin di Istana Kayangan, Shah Alam pada 6 Oktober. Menurut Dr Abdul Mu’ati, Baginda sukacita atas cenderamata berkenaan. Apatah lagi, Sultan Sharafuddin juga pengumpul senjata Melayu itu dan dianggar lebih 1,000 keris berada dalam koleksi simpanan Baginda.

“Tuanku sangat sukacita sampai panggil jurugambar istana untuk mengabdikan momen ketika itu. Tuanku kata akan letak keris ini di Istana Alam Shah.

“Keris ini hebat pembuatannya, melibatkan empat tukang berpengalaman, bukan orang muda, bukan sembarangan. Semua pakar dalam bahagian masing-masing. Walaupun telah berusia, sanggup buat demi Sultan Selangor.

“Kami yakin kehebatan keris ini sesuai dengan tanda pencapaian pemerintahan Tuanku yang bawa kemakmuran, kejayaan kepada Selangor,” katanya lagi.

Kenyataan Selangor Royal Office pada 7 Oktober menyebut ilham penghasilan keris berkenaan hasil kecintaan mendalam Baginda terhadap seni, warisan dan kepelbagaian tradisi keris.

Keris tersebut dianggap karya simbolik yang merakam sejarah pemerintahan Baginda lantaran setiap bahan, ukuran dan unsur hiasannya mencerminkan pemerintahan serta identiti negeri.

Penggunaan tujuh jenis besi melambangkan penyatuan kekuatan, unsur Helang Putih menzahirkan keberanian dan kewibawaan, penggunaan kayu Black Healer Wood menghubungkan keris dengan warisan serta kepercayaan tradisional Melayu.

Sembilan tatahan batu permata pula mewakili sembilan daerah manakala 25 motif berbentuk siku atau chevron mengabadi perjalanan pemerintahan Baginda merentasi masa lalu, masa kini dan harapan masa depan.

Penghasilannya turut menzahirkan kekayaan seni warisan Melayu selain dedikasi para artisan dalam memelihara sekali gus memartabat seni pertukangan keris untuk diwarisi generasi seterusnya.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.