KLANG, 25 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama kepada enam individu dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Baginda, hari ini.
Istiadat di Balairung Seri, Istana Alam Shah itu menyaksikan keberangkatan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.
Mendahului senarai penerima ialah Orang Besar Istana Dato’ Paduka Syed Budriz Putra Jamalullail Syed Amir Abidin Jamalullail yang dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ Seri bagi ahli lelaki dan Datin Paduka Seri bagi wanita.
Turut menerima Darjah Kebesaran S.P.M.S. ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Hakim Negara Yang Amat Arif Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Pengerusi Eksekutif Westports Holdings Berhad Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah.
Baginda juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) kepada Orang Besar Diraja Dato’ Richard Alexander John Curtis dan bekas Penasihat Undang-undang Negeri Selangor Dato’ Salim Soib, yang membawa gelaran Dato’ Setia bagi ahli lelaki dan Datin Paduka Setia bagi wanita.
Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor turut berlangsung sempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin.
Dalam istiadat itu, dua individu dimasyhurkan sebagai Orang Besar Istana iaitu Raja Dato’ Reza Alhaj Raja Dato’ Zaib Shah Alhaj yang dikurniakan gelaran pangkat Engku Sri Paduka Diraja.
Turut dimasyhurkan sebagai Orang Besar Istana ialah Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari Alhaj yang dikurniakan pangkat gelaran Tengku Orang Kaya Menteri Diraja
Sultan Sharafuddin turut berkenan memasyhurkan gelaran Dato’ Diraja Selangor kepada Pengerusi Yayasan Jantung Malaysia Dato’ Dr. Aljafri Tan Sri Abdul Majid dengan gelaran Dato’ Sri Maharaja Diraja.
Penerima gelaran perlu melafazkan ikrar taat setia dan menjunjung duli kepada Sultan Selangor dalam istiadat yang diamalkan sejak era Raja Lumu.
Mereka dikurniakan keris panjang bagi penerima beragama Islam dan pedang bagi penerima bukan Islam oleh Sultan Sharafuddin sebelum perlu meninggalkan Selangor selama tujuh hari mulai hari ini.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diiringi lagu negeri Selangor dan 25 das tembakan meriam di Padang Mahkota, Istana Alam Shah.
Istiadat tersebut turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri, Datin Seri Masdiana Mohamed, serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.















