SHAH ALAM, 25 OKT: Kerajaan Selangor akan terus mengutamakan kepentingan rakyat dalam pentadbiran negeri selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, beliau bersama seluruh barisan pentadbiran Kerajaan Negeri akan menjadikan titah Baginda sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor sebagai pedoman dalam melaksanakan amanah.
Menurutnya, penegasan Baginda bahawa kemajuan sebenar diukur melalui kesejahteraan seluruh rakyat menjadi panduan dalam memastikan kemakmuran negeri dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
“Titah DYMM Tuanku Sultan akan patik bersama seluruh barisan pentadbiran Kerajaan Negeri semat erat di sanubari kami.
“Keprihatinan Tuanku menjadi inspirasi untuk kami terus meningkatkan perkhidmatan pentadbiran dan melaksanakan amanah dengan jujur, adil serta berintegriti, berpaksikan kepentingan rakyat dan masa depan Selangor,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Amirudin turut merujuk titah Baginda bahawa kekayaan dan kemakmuran Selangor perlu diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, khususnya golongan yang masih dihimpit kesusahan.
Antara keperluan yang diberi penekanan termasuk pendidikan berkualiti, kediaman mampu milik, peluang pekerjaan serta persekitaran yang bersih dan sihat.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut menjunjung titah Baginda supaya terus memelihara kesucian agama Islam dan memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama.
Menurutnya, kemajuan Selangor juga perlu seiring dengan nilai agama, adab, sikap saling menghormati dan kemanusiaan.
Sempena sambutan Jubli Perak itu, Amirudin turut merafakkan doa agar Allah SWT melanjutkan usia Baginda dalam keadaan sihat, sejahtera dan dikurniakan keafiatan untuk terus memayungi negeri serta seluruh rakyat Selangor Darul Ehsan.









