SHAH ALAM, 28 OKT: Legasi Kesultanan Selangor perlu terus dihayati dan dipelihara sebagai pedoman generasi masa kini dan akan datang bagi memastikan kesinambungan syiar Islam di negeri ini.
Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir berkata sejarah dan warisan institusi kesultanan bukan sekadar untuk dikenang, malah perlu difahami oleh masyarakat.
“Multaqa (forum) ini wajar dimanfaatkan untuk menghayati peranan dan sumbangan institusi kesultanan Selangor dalam memelihara kedudukan agama Islam, memperkukuh institusi keagamaan serta memastikan kesinambungan syiar Islam di negeri ini.
“Justeru, sejarah dan warisan yang ditinggalkan bukan sekadar untuk dikenang, malah perlu difahami, dipelihara dan dijadikan pedoman oleh generasi masa kini dan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj: Legasi Kesultanan Selangor dalam Memperkasa Islam di Alam Melayu di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.

Program dua hari bermula hari ini itu mengetengahkan pelbagai pembentangan mengenai kepimpinan Sultan Selangor dalam pentadbiran agama Islam, pemerkasaan institusi fatwa, perundangan Islam serta peranan institusi raja dalam membela hak rakyat.
Menurut Anhar, kerjasama antara institusi kesultanan, institusi agama, ilmuwan dan ahli akademik penting bagi memastikan kedudukan Islam terus diperkukuh berlandaskan prinsip syarak serta disiplin ilmu yang muktabar.
“Dalam mendepani cabaran semasa, institusi kesultanan, institusi agama, para ilmuwan dan ahli akademik perlu terus berganding bahu bagi memastikan Islam terus dimartabat berlandaskan prinsip syarak serta disiplin ilmu yang muktabar,” katanya.
Beliau turut berharap pembentangan kertas kerja sepanjang program itu dapat memperluas pemahaman masyarakat mengenai institusi kedaulatan raja, khususnya dari sudut perundangan dan peranan agensi agama Islam.

Dalam pada itu, Anhar mengajak orang ramai menghadiri majlis kemuncak multaqa esok yang akan diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
“Semoga dengan kehadiran orang ramai dapat memeriahkan majlis berkenaan, sekali gus menyemarakkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara legasi kesultanan Selangor dan peranannya dalam membangunkan ummah,” katanya.










