KLANG, 24 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja bersama pesara, pelabur dan penjawat awam sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah tiba di Padang Mahkota kira-kira jam 3.15 petang.
Keberangkatan kerabat diraja itu disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Selangor Dato’ Haris Kasim dalam sembah ucapannya berkata majlis ini merupakan apresiasi bermakna kepada tiga entiti yang telah memberi sumbangan signifikan terhadap pembangunan dan kemakmuran negeri.
“Pesara melambangkan jasa dan pengorbanan generasi terdahulu. Pelabur adalah cerminan keyakinan sektor swasta terhadap kemakmuran ekonomi negeri, manakala penjawat awam merupakan penerus amanah dan kecemerlangan pentadbiran masa hadapan,” katanya.
Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan melancarkan buku terbitan Kerajaan Selangor bertajuk Lakaran Indah Institusi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Menurut Haris, penerbitan buku itu merupakan usaha penting untuk mendokumentasikan sejarah perkhidmatan awam negeri, termasuk sumbangan 32 tokoh yang pernah menerajui pentadbiran sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
“Buku ini bukan sekadar merakam sejarah kepimpinan terdahulu, malah lambang apresiasi terhadap jasa, pengorbanan dan legasi kecemerlangan pentadbiran negeri.
“Patik percaya buku ini akan menjadi sumber inspirasi kepada pentadbir masa kini agar sentiasa mengenang jasa kepimpinan terdahulu, menimba manfaat kepimpinan agar amanah terus diperkukuh dan legasi kecemerlangan Selangor kekal terpelihara di bawah naungan Duli Tuanku,” katanya.
Majlis hari ini merupakan siri terakhir daripada lima siri yang disusun dalam program bersempena 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin.








