Sultan Selangor tegas soal integriti hasil pengalaman dalam pentadbiran

24 Okt 2026, 1:00 PM
Sultan Selangor tegas soal integriti hasil pengalaman dalam pentadbiran
Sultan Selangor tegas soal integriti hasil pengalaman dalam pentadbiran

KLANG, 24 OKT: Tindakan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor yang menekankan kepentingan integriti, kecekapan, disiplin dan tadbir urus dalam perkhidmatan awam merupakan manifestasi pengalaman Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebagai penjawat awam.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Selangor Dato’ Haris Kasim berkata menerusi pengalaman peribadi terbabit, Baginda sudah terdedah dengan selok-belok pentadbiran kerajaan dan tanggungjawab perkhidmatan kepada rakyat.

“DYMM Tuanku pernah menimba pengalaman dalam bidang pentadbiran awam sebelum menaiki takhta sebagai Sultan Selangor.

“Baginda berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Daerah Kuala Lumpur serta Jabatan Polis Diraja, Kuala Lumpur.

“Keprihatinan Tuanku dalam menekankan kepentingan integriti, kecekapan, disiplin dan tadbir urus yang baik merupakan manifestasi ditonjolkan hasil pengalaman dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Jamuan Teh Diraja bersama pesara, pelabur dan penjawat awam sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Haris turut menyeru supaya warga perkhidmatan awam negeri terus konsisten memperkukuh kualiti pentadbiran kerana ia bergantung kepada modal insan selain didasari prinsip merit, ketelusan serta keadilan.

“Patik mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri sendiri dan seluruh penjawat awam Selangor supaya menyematkan titah serta nasihat Tuanku sebagai pedoman dalam melaksanakan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat.

“Penjawat awam yang cemerlang tidak dinilai melalui kecekapan melaksanakan tugas semata-mata, tetapi juga melalui sahsiah diri, jujur memegang amanah, kesantunan memberikan perkhidmatan dan kesungguhan menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Haris yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri berkata tanggal 22 November 2001 merupakan tarikh bersejarah apabila Sultan Sharafuddin dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor kesembilan.

“Sepanjang tempoh 25 tahun ini, Selangor terus melangkah maju sebagai negeri dinamik, makmur dan berdaya saing dengan Tuanku kekal menjadi payung kedaulatan negeri, lambang perpaduan rakyat serta tonggak kestabilan institusi Kesultanan Selangor.

“Titah, nasihat dan pandangan Tuanku dalam memelihara kemuliaan agama Islam, keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi pedoman kepada warga pentadbiran negeri," katanya.

Terdahulu, majlis hari ini merupakan siri terakhir daripada lima siri yang disusun dalam program bersempena 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin dan turut dihadiri kira-kira 1,500 tetamu terdiri daripada kaki tangan awam, pesara dan pelabur.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.