Ketua Pengarah AKPS Mohd Shuhaily dikembalikan ke PDRM, penempatan ditamatkan

29 Okt 2026, 3:35 AM
Ketua Pengarah AKPS Mohd Shuhaily dikembalikan ke PDRM, penempatan ditamatkan

SHAH ALAM, 29 OKT: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain akan dikembalikan ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan keputusan menamatkan penempatan secara pinjamannya di agensi itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan berkenaan dibuat minggu lalu, lapor Berita Harian.

“Keputusan untuk mengembalikan beliau daripada penempatan secara pinjaman di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia kepada pasukan polis sudah dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail memaklumkan status perkhidmatan Shuhaily dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan nasihat perundangan sebelum sebarang keputusan penamatan atau pemendekan tempoh perkhidmatannya dipersembahkan bagi perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, rujukan itu perlu kerana Shuhaily ditempatkan di AKPS menerusi kontrak peminjaman kader PDRM selama dua tahun yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara berkenaan turut dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan lanjut.

Pada 21 Oktober lalu, Shuhaily, 54, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September.

Beliau didakwa mencederakan Mohamad Faiz Saman dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1 KLIA antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, polis merakam keterangan 25 saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan, manakala AGC meminta beberapa penambahbaikan dan siasatan lanjut terhadap kertas siasatan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.