SHAH ALAM, 28 OKT: Polis menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Lembah Klang dengan rampasan hampir 394 kilogram (kg) dadah bernilai RM2.15 juta menerusi sembilan serbuan dalam tempoh empat hari bermula 19 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras itu membawa kepada penahanan 23 suspek termasuk enam warga asing berusia antara 21 hingga 40 tahun.
Menurutnya, operasi pertama membabitkan empat serbuan di tiga kondominium sekitar Sungai Besi, Cheras dan Bandar Baru Seri Petaling dengan 10 lelaki ditahan.
“Seramai 10 lelaki ditahan, manakala polis merampas 123.574kg disyaki MDMA dalam 530 paket plastik, 59.05kg MDMA cecair dalam 190 botol serta sejumlah ketamin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, lapor Harian Metro.
Fadil berkata, operasi kedua pada 20 Oktober membabitkan empat serbuan di Sungai Besi, Taman Sri Endah, Ampang Mewah dan Bukit Bintang dengan 11 suspek ditahan serta rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM312,765.
Katanya, operasi ketiga pada 22 Oktober di sebuah kondominium di Pudu pula mencatatkan nilai rampasan tertinggi apabila polis menemukan 10.605kg disyaki MDMA dan satu gram metamfetamina bernilai RM1,590,782.
Secara keseluruhan, beliau berkata, ketiga-tiga operasi merekodkan rampasan dadah seberat 393.965kg bernilai RM2,153,847 yang dianggarkan mampu dibekalkan kepada 1.31 juta pengguna berdasarkan penggunaan 0.3 gram bagi setiap individu.
Siasatan mendapati sindiket terbabit mempunyai anggota dengan peranan berbeza termasuk individu dipercayai bertindak sebagai ketua, pengedar serta pihak yang membantu melancarkan operasi mereka, selain polis turut menyiasat kemungkinan hubungan antara suspek yang ditahan.
“Operasi ini hasil risikan berterusan JSJN Kuala Lumpur serta kerjasama orang ramai. Polis akan mempergiat penguatkuasaan terhadap semua peringkat kegiatan pengedaran dadah, daripada pengeluaran dan penyimpanan hingga pengedaran serta pengguna akhir,” katanya.
Fadil berkata, polis tidak menolak kemungkinan tangkapan lanjut dilakukan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah menghubungi hotline JSJN di 012-208 7222 bagi membantu siasatan.







