Polis sahkan tiada bom di AEON BiG Klang

18 Okt 2026, 1:02 AM
Polis sahkan tiada bom di AEON BiG Klang

KLANG, 18 OKT: Polis mengesahkan tiada bahan letupan atau peranti mencurigakan ditemukan di pasar raya AEON BiG, Jalan Kapar di sini, selepas menerima ancaman bom menerusi e-mel petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurus stor pasar raya berkenaan pada kira-kira jam 4.04 petang.

Jelasnya, susulan laporan itu, polis segera menjalankan pemeriksaan menyeluruh di premis berkenaan bagi memastikan tiada bahan letupan yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.

Operasi berkenaan melibatkan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9), Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Pertahanan Awam Klang.

“Pemeriksaan yang dijalankan selama hampir tiga jam mendapati tiada sebarang bahan letupan atau peranti mencurigakan seperti yang dinyatakan dalam e-mel berkenaan,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut Ramsay, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah melalui komunikasi tanpa nama.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan e-mel atau saluran komunikasi lain untuk menyebarkan maklumat yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan mencetuskan ketakutan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menerusi talian 03-3291 9614 atau balai polis berhampiran.

Maklumat juga boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Fazlan Rezza bin Mazlan, menerusi talian 011-1056 1017 bagi membantu siasatan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.