SHAH ALAM, 28 OKT: Status perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat perundangan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, langkah itu perlu memandangkan penugasan Mohd Shuhaily di agensi berkenaan dibuat menerusi kontrak peminjaman kader daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama dua tahun yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, perkara itu turut diserahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan lanjut, manakala sebarang keputusan berkaitan penamatan atau pemendekan tempoh perkhidmatan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Kita merujuk perkara ini kepada AGC sebab penugasan Datuk Seri Mohd Shuhaily di AKPS untuk tempoh selama dua tahun. Ia macam kontrak, jadi kontrak ini dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Jadi sekiranya berlaku apa-apa perkara yang membabitkan tahan kerja dan sebagainya, tindakannya nanti kita bergantung kepada nasihat AGC. Tapi apa pun perlu diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan penamatan kontrak dan sebagainya," katanya seperti dilapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi 2026 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini, hari ini.
Mohd Khalid menjelaskan, pandangan AGC penting bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil mematuhi terma kontrak serta prosedur perundangan berkaitan pelantikan Mohd Shuhaily.
"Beliau diangkat kepada AGC untuk mendapatkan pandangan perundangan sebab beliau ada kontrak yang ditandatangani antara pihak yang berkaitan selama lebih kurang dua tahun. Perkara ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pelantikan.
"Jadi bila kita bertindak atas sesuatu perkara, kita perlu dapat balik perkenan Yang di-Pertuan Agong sama ada tempoh perkhidmatan itu dipendekkan atau sebagainya," katanya.
Beliau berkata, selepas urusan perundangan dan proses mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong selesai, Mohd Shuhaily akan dikembalikan kepada PDRM memandangkan beliau masih berstatus pegawai polis yang sedang berkhidmat.
"Bila selesai proses itu, dia akan dikembalikan kepada PDRM sebab Datuk Seri Mohd Shuhaily ini adalah salah seorang pegawai polis yang masih lagi berkhidmat.
"Sekembalinya nanti, mungkin saya akan memberikan keterangan yang lebih lanjut mengenai perkara yang perlu dilaksanakan atau tindakan susulan, insya-Allah," katanya.





