KPN: Budaya hormati pegawai lebih kanan dilihat makin kurang

23 Okt 2026, 7:16 AM
KPN: Budaya hormati pegawai lebih kanan dilihat makin kurang

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail mengingatkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar sentiasa memelihara disiplin dan menghormati pegawai lebih kanan bagi memastikan kekuatan serta keharmonian pasukan terus terpelihara.

Beliau berkata budaya menghormati pegawai lebih kanan dilihat semakin berkurangan dan keadaan itu dibimbangi boleh melemahkan pasukan PDRM serta dipandang rendah oleh jabatan atau agensi lain.

“Kita sedia maklum bahawa chain of command ini adalah sesuatu yang dituntut. Kita perlu menghormati pegawai yang lebih kanan daripada kita,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KPN anjuran Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard di Bukit Aman di sini hari ini.

Mohd Khalid turut mengingatkan warga pasukan supaya menjadikan disiplin yang diterapkan ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Polis sebagai amalan sepanjang tempoh perkhidmatan.

Beliau berkata teguran terhadap pegawai dan anggota tidak seharusnya dianggap sesuatu yang negatif, sebaliknya perlu diterima sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri.

“Teguran tidak menjadi satu kesalahan, tetapi biarlah menjadi satu pengajaran supaya pegawai dan anggota yang ditegur itu mempunyai rasa kesedaran bahawa satu kesalahan telah berlaku.

“Jangan kita anggap bahawa teguran ini sesuatu yang menunjukkan kelemahan kita, sebaliknya perlu memastikan teguran itu membina dan membawa kepada kebaikan dalam membentuk jati diri untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah serta menjadi pegawai lebih berkaliber, berdisiplin dan berintegriti,” katanya.

Mohd Khalid berkata setiap warga pasukan perlu saling menghormati, menerima teguran dan pandangan serta tidak menganggap diri sendiri sentiasa betul, sebaliknya saling mengingatkan dan menghormati pegawai lebih kanan bagi memupuk semangat kerjasama serta solidariti dalam pasukan.

Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata PDRM akan mengadakan sambutan Hari Integriti pada 11 November ini, bertemakan “Integriti dan Organisasi Bukan Pilihan Tetapi Kewajipan”.

Beliau berkata sambutan itu turut menyaksikan 35 warga PDRM yang menolak tawaran rasuah ketika menjalankan tugas diberi pengiktirafan sebagai contoh kepada anggota lain untuk terus memelihara integriti dalam perkhidmatan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.