Dakwaan culik di Bangi tidak benar, polis siasat kes samun

28 Okt 2026, 7:57 AM
Dakwaan culik di Bangi tidak benar, polis siasat kes samun

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Polis mengesahkan tiada kejadian culik dalam kes samun membabitkan seorang pelayan restoran di Bangi Avenue yang tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun yang didakwa membabitkan penculikan seorang lelaki berusia 20-an pada 5.16 pagi semalam.

Beliau berkata berdasarkan laporan, kejadian berlaku pada 12.40 tengah malam apabila mangsa mendakwa dipaksa masuk ke bahagian belakang sebuah kereta Perodua Axia perak sebelum mata ditutup dan tangan diikat.

“Mangsa turut mendakwa dipukul serta diugut supaya mendapatkan wang daripada kenalannya oleh empat suspek lelaki dan mengalami kerugian wang tunai RM1,100, sebuah telefon bimbit, beg serta beberapa dokumen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata siasatan bagaimanapun mendapati tiada kejadian culik berlaku apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki itu menaiki kenderaan tanpa paksaan dan dipercayai mengenali suspek sebelum kejadian samun berlaku.

Beliau berkata usaha mengesan semua suspek giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Naazron menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika berkenalan dengan individu melalui media sosial serta tidak menyerahkan kad dan nombor PIN mesin juruwang automatik (ATM) atau maklumat peribadi kepada orang lain.

Beliau meminta mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang menerusi talian 03-8911 4243 atau pegawai penyiasat Inspektor Ghazali Zulkifli 016-914 0758.

Sebelum ini, hantaran dimuat naik di platform media sosial Threads oleh individu mendakwa rakannya diculik di Bangi Avenue oleh beberapa lelaki yang menyamar sebagai polis dan diminta membayar RM3,000 sebelum ditinggalkan di Sepang.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.