SHAH ALAM, 30 JUN: Wanita yang mayatnya ditemukan dalam bagasi di sebuah rumah di Taman Impian Indah, Kajang disahkan maut akibat luka tetakan pada kepala.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, punca kematian itu dikenal pasti selepas proses bedah siasat terhadap mayat selesai dijalankan pada jam 6.20 petang semalam.
"Polis mengesahkan tiada sebarang kesan kerat atau bahagian anggota badan mayat terpisah.
"Siasatan juga mendapati rumah lokasi kejadian disewakan kepada suami isteri warga asing sejak Februari lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga mahupun pekerja diminta tampil membantu siasatan.
"Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Nur Ayuni Abd Aziz menerusi talian 016-2080717," katanya.
Semalam, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita di dalam sebuah bagasi di sebuah rumah di Taman Impian Indah, Kajang selepas pemilik kediaman itu datang memeriksa unit berkenaan kerana gagal menghubungi penyewanya beberapa kali.
Polis menerima laporan berhubung penemuan mayat itu di premis berkenaan pada jam 8.37 malam kelmarin.






