SHAH ALAM, 24 JULAI: Cubaan seorang lelaki mengelak haiwan menyebabkan kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terjunam ke Sungai Langat berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Hulu Langat, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa berusia 56 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.13 malam.
Siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari Sungai Congkak menuju ke Nilai ketika kejadian berlaku.
"Ketika melalui Jalan Hulu Langat, mangsa mendakwa terlihat satu objek dipercayai haiwan melintas dari arah kiri ke kanan jalan.
"Tindakannya mengelak objek tersebut menyebabkan dia hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas dan terjatuh ke dalam Sungai Langat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, kejadian itu hanya mengakibatkan kerosakan pada kenderaan dan tidak membabitkan kemalangan dengan kenderaan lain atau kerosakan harta benda awam.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai laporan trafik biasa.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berwaspada ketika melalui laluan berkenaan susulan dua kejadian seumpama itu dilaporkan di kawasan terbabit.
"Jika terlihat haiwan atau sebarang halangan di atas jalan, pemandu hendaklah memperlahankan kenderaan secara berperingkat dan mengelakkan tindakan mengelak secara mengejut kerana ia boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan," katanya.







