SHAH ALAM, 12 JULAI: Seorang wanita maut selepas kereta yang dinaikinya hilang kawalan sebelum dirempuh sebuah lagi kenderaan di Kilometer 298.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, awal pagi tadi.
Dua lagi mangsa yang berada dalam kenderaan sama dilaporkan cedera.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu membabitkan dua buah kenderaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Bezza berwarna coklat yang membawa dua penumpang dipercayai tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan dan melanggar penghadang besi di sebelah kanan.
"Kemudian datang kereta berwarna putih dari arah belakang melanggar Perodua Bezza dan meninggalkan lokasi kejadian.
"Akibat perlanggaran itu penumpang wanita berusia 27 tahun menaiki Perodua Bezza maut di tempat kejadian, manakala pemandu lelaki berusia 20 tahun dan seorang penumpang lelaki berusia 22 lagi cedera serta sedang dirawat di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Serdang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan Inspektor Ahmad Zahrein Muhd Suod di talian 017–3818422.
"Pihak Polis menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan sentiasa berhati-hati semasa memandu," katanya.







