SHAH ALAM, 29 Jun: Mayat seorang wanita dipercayai ditemukan di dalam sebuah bagasi di sebuah rumah di Taman Impian Indah, Kajang selepas pemilik kediaman itu datang memeriksa unit berkenaan kerana gagal menghubungi penyewanya beberapa kali.
"Saya menghubungi penyewa wanita itu beberapa kali, namun gagal, jadi saya pergi ke rumah untuk memeriksa dan sebaik masuk, saya terhidu bau busuk dengan rumah kotor dan kemudian menemui bagasi berisi mayat wanita itu," katanya ketika ditemui media hari ini seperti dilapor BH.
Pemilik rumah yang enggan dikenali itu berkata, walaupun mayat berkenaan belum dikenal pasti, dia percaya mangsa ialah penyewa warga Nepal yang berpindah ke unit berkenaan kira-kira tiga bulan lalu dan tinggal bersama seorang lelaki.
"Selepas gagal menghubungi beberapa kali, saya pergi memeriksa rumah saya yang disewa mereka petang semalam.
"Rumah itu kotor, dengan kesan kumbahan dan bau busuk di lantai. Terdapat sebuah kotak kadbod besar di sudut ruang tamu, dipenuhi pakaian dan fabrik dan kumbahan bocor daripada kotak itu," katanya.
Menurutnya, dia kemudian menghampiri kotak berkenaan sebelum menemui sebuah bagasi di dalamnya yang terlalu berat untuk dialihkan.
"Saya lihat bagasi itu kembung dan sukar untuk membuka zip. Akibat ketakutan saya menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat wanita tanpa dokumen pengenalan diri itu pada kira-kira jam 8.37 malam tadi.
Beliau berkata, sepasukan polis bersama Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian ke lokasi kejadian dan pemeriksaan menemukan mayat wanita berkenaan di dalam sebuah bagasi yang diletakkan di ruang tamu rumah terbabit.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Nur Ayuni Aziz di talian 016-2080717 atau talian kecemasan 999 bagi membantu siasatan.







