
RAWANG, 19 OKT: Cadangan memperluas perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) ke Rawang antara penambahbaikan pengangkutan awam yang diharap diberi perhatian dalam Belanjawan Selangor 2027 bagi menangani kesesakan lalu lintas susulan pembangunan pesat kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat berkata pertambahan penduduk dan pembangunan yang semakin meluas sehingga Hulu Selangor memerlukan perancangan pengangkutan awam lebih menyeluruh bagi memenuhi keperluan masyarakat.
Katanya, walaupun cadangan membawa MRT ke Rawang merupakan perancangan jangka panjang, beliau berharap usaha itu dapat direalisasikan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Saya berharap ada MRT masuk ke Rawang. Saya tahu itu bukan perkara yang senang tapi sekurang-kurangnya hari ini kita bersuara tentang perkara tersebut dan kita harap satu hari, mungkin lima hingga 10 tahun akan datang perkara itu boleh wujud,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau projek menaik taraf dewan terbuka MPKK Kampung Kenanga di sini, hari ini.
Selain itu, katanya Kerajaan Negeri juga diharap dapat membantu mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di stesen Rawang khususnya ketika waktu bukan puncak.
Menurutnya, jadual tren yang terhad ketika tempoh berkenaan antara perkara yang perlu diberi perhatian susulan pertambahan penduduk dan peluasan pembangunan di kawasan berkenaan.
“Sekarang ini Selangor bukan hanya Lembah Klang, pembangunannya semakin luas dari Rawang, Kuala Kubu Bharu sehingga Hulu Selangor. Tapi kekurangan kenderaan awam menjadikan kesesakan lalu lintas di kawasan ini,” katanya.
Selain pengangkutan awam, katanya penyediaan kemudahan mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU) juga perlu diberi perhatian sebagai persediaan menghadapi perubahan demografi penduduk.
“Perancangan itu perlu dimulakan lebih awal bagi memastikan kemudahan awam bersesuaian dengan keperluan golongan berkenaan, termasuk akses tanpa tangga supaya kita lebih bersedia menghadapi negeri menua,” katanya.
Sebelum ini Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata usaha meremajakan Pekan Lama Rawang bakal diperkasa melalui sistem bersepadu berasaskan kecerdasan buatan (AI) sekali gus menangani pelbagai masalah yang dihadapi orang ramai.
Shahman Jalaludin berkata kaedah itu berupaya mengatasi banyak masalah setempat termasuk isu kesesakan trafik di sekitar kawasan berkenaan.
Katanya, penggunaan AI di pusat kawalan bersepadu MPS yang mencapai 60 peratus dijangka lengkap sepenuhnya awal tahun depan selepas diintegrasi pelbagai sistem serta sumber data.










