
SHAH ALAM, 25 SEPT: Selangor mahu meneroka pendekatan baharu dalam menangani kemiskinan dengan menilai taraf kehidupan wajar berdasarkan keadaan setempat, berbanding bergantung sepenuhnya kepada garis kemiskinan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu boleh diberi perhatian menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi memastikan ukuran kemiskinan lebih mencerminkan realiti kehidupan rakyat di setiap kawasan.
“Saya mencabar diri kita dalam Rancangan Selangor Kedua untuk tidak lagi hanya bergantung kepada garis kemiskinan.
“Sebaliknya, kita harus melihat kepada taraf kehidupan wajar dan ia akan mempunyai beberapa lapis mengikut lokaliti dan kawasan tertentu,” katanya ketika Sesi Libat Urus Belanjawan Selangor 2027, di Selangor International Trade Center (SITC) di sini, hari ini.
Amirudin berkata pendekatan berkenaan mungkin meningkatkan komitmen kewangan Kerajaan Negeri, namun penting bagi memastikan usaha menangani kemiskinan tidak hanya dinilai berdasarkan angka dan statistik.
Menurutnya, pencapaian Selangor dalam mengurangkan kadar kemiskinan perlu dilihat seiring dengan realiti kehidupan rakyat di lapangan.
Katanya, walaupun kadar kemiskinan tegar berada sekitar 0.8 hingga 0.9 peratus dan kemiskinan relatif menurun kepada satu angka, masih terdapat rakyat yang merasakan taraf kehidupan mereka belum cukup selesa dan bermaruah.
“Dalam realiti di pusat khidmat, di lapangan dan di banyak tempat, masih ada yang merasakan mereka belum mendapat kehidupan bermaruah ataupun masih hidup dalam kesusahan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri perlu menyusun semula bentuk intervensi, bantuan dan sokongan supaya lebih bersesuaian dengan keperluan sebenar rakyat.
Antara yang boleh diperkukuh termasuk bantuan keusahawanan serta program sokongan lain yang mampu membantu meningkatkan taraf kehidupan isi rumah.
Amirudin berkata pendekatan berasaskan taraf kehidupan wajar juga membolehkan Kerajaan Negeri melihat isu kemiskinan daripada perspektif lebih luas, termasuk mengambil kira keadaan sebenar isi rumah mengikut lokaliti.
Menurutnya, cabaran utama adalah memastikan ukuran serta bentuk intervensi yang digunakan benar-benar mampu menangani kesusahan rakyat, termasuk mereka yang tidak lagi dikategorikan sebagai miskin berdasarkan ukuran sedia ada.
Katanya, pendekatan itu antara perkara yang perlu diteroka dalam merangka usaha menangani kemiskinan bagi fasa pembangunan Selangor seterusnya.







