Belanjawan Selangor 2027: Projek tebatan banjir Sentosa perlu dipercepat – Gunaraj

20 Okt 2026, 12:00 AM
Belanjawan Selangor 2027: Projek tebatan banjir Sentosa perlu dipercepat – Gunaraj
Belanjawan Selangor 2027: Projek tebatan banjir Sentosa perlu dipercepat – Gunaraj

SHAH ALAM, 20 OKT: Projek tebatan banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa perlu dipercepat menerusi Belanjawan Selangor 2027, termasuk kerja menaik taraf sistem saliran dan membina kolam tadahan bagi mengurangkan risiko banjir kilat.

Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr Gunaraj George berkata beberapa inisiatif menaik taraf sistem saliran sedang dilaksanakan, namun pelaksanaannya perlu disegerakan bagi menghadapi perubahan cuaca yang menyebabkan taburan hujan semakin ekstrem.

Menurutnya, meskipun DUN Sentosa tidak mengalami banjir besar sejak dua tahun kebelakangan ini, beberapa kawasan masih berdepan banjir kilat yang memerlukan penyelesaian jangka panjang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr Gunaraj George

“Apa yang saya mahu ialah memastikan DUN Sentosa bebas daripada banjir. Syukur, selama dua tahun ini tidak ada banjir yang teruk.

"Banjir kilat ada, tetapi tidak seperti dahulu,” katanya dalam program SKOP terbitan Media Selangor.

Gunaraj berkata, sistem saliran sedia ada perlu dinaik taraf supaya mampu menampung jumlah air yang lebih banyak ketika hujan lebat, sekali gus mengurangkan risiko limpahan air.

Katanya, fungsi longkang kini perlu melangkaui peranannya sebagai saluran air ke sungai, sebaliknya turut menyediakan kapasiti tampungan sementara ketika aliran air meningkat.

“Longkang yang sedia ada perlu dapat menampung kadar hujan yang lebih lebat. Sekarang tanggungjawab longkang bukan sekadar mengalirkan air, tetapi juga menampung air sementara sebelum disalurkan ke sungai,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) turut mencadangkan pembinaan beberapa kolam tadahan bagi meningkatkan kapasiti sistem tebatan banjir di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap projek pembesaran longkang, pembinaan kolam tadahan dan penambahbaikan sistem saliran dapat dipercepat menerusi Belanjawan Selangor 2027 bagi memperkukuh kesiapsiagaan kawasan itu menghadapi cuaca ekstrem.

Dato’ Menteri Besar Selangor dijadual membentangkan Belanjawan Selangor 2027 pada Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 13 November ini.

Sebelum ini, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan tujuh projek pembangunan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bernilai RM83 juta telah siap dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir dan hakisan di beberapa kawasan di Selangor.

Projek oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor itu merangkumi kerja menaik taraf sungai serta pengukuhan benteng, termasuk di kawasan pesisir pantai.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.