PUTRAJAYA, 28 OKT: Sebanyak 88 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara telah memperoleh pengiktirafan di bawah Penarafan Bandar Pintar Malaysia sejak diperkenalkan pada 2023.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pencapaian itu mencerminkan kemajuan pelaksanaan agenda bandar pintar negara dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, kemampanan bandar dan kesejahteraan rakyat menerusi penggunaan teknologi serta inovasi.
"Pengiktirafan ini mencerminkan tahap kemajuan PBT dalam menerapkan pendekatan bandar pintar berdasarkan indikator yang ditetapkan, sekali gus menggalakkan penambahbaikan berterusan dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat," menurut kenyataan itu.
KPKT memaklumkan bagi tahun ini, sebanyak 28 PBT diperakukan untuk menerima pengiktirafan baharu berdasarkan piawaian Malaysia Standard (MS) ISO 37122:2019, iaitu Sustainable cities and communities - Indicators for smart cities.
Daripada jumlah tersebut, satu PBT mencapai Tahap 3: Leading Smart City; sembilan PBT mencapai Tahap 2: Developing Smart City; dan 18 PBT mencapai Tahap 1: Smart City Early Adopter.
Menurut KPKT, perkembangan itu disahkan dalam Mesyuarat Majlis Bandar Pintar Negara (MBPN) 2026 yang dipengerusikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming semalam.
Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa anugerah kepada PBT yang berjaya akan disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Nov ini sempena Sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia 2026 di Auditorium Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Dalam pada itu, KPKT turut memperluas pendekatan penarafan bandar pintar kepada sektor swasta sejak 2025 menerusi penarafan Smart Township bagi menggalakkan pembangunan kawasan perbandaran yang lebih pintar, mampan dan berdaya huni.
Kementerian itu memaklumkan sebanyak 12 permohonan diterima tahun ini daripada pemaju swasta, dengan lapan kawasan perbandaran memenuhi kriteria penarafan ditetapkan.
Daripada jumlah itu, satu kawasan perbandaran memperoleh penarafan Platinum, empat (Gold) dan tiga (Silver).
"Penglibatan sektor swasta penting bagi melengkapi usaha kerajaan menerapkan prinsip bandar pintar secara menyeluruh, termasuk dalam pembangunan kawasan perbandaran serta pengurusan kemudahan dan perkhidmatan untuk penduduk," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Nga dalam kenyataan yang sama berkata penarafan bandar pintar merupakan instrumen penting untuk menggalakkan PBT meningkatkan keupayaan, memperkukuh tadbir urus dan menerapkan penggunaan teknologi dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
"Bandar pintar bukan sekadar tentang penggunaan teknologi, tetapi bagaimana teknologi dapat dimanfaatkan untuk memudahkan urusan rakyat, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat, mampan serta selesa untuk didiami.
"KPKT akan terus memperkukuh agenda bandar pintar melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, PBT dan sektor swasta bagi memastikan pembangunan bandar memberi manfaat kepada rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara Pintar menjelang 2040," katanya.







