Kanak-kanak cedera diserang lapan anjing liar ketika bermain

12 Okt 2026, 12:46 PM
Kanak-kanak cedera diserang lapan anjing liar ketika bermain

ISKANDAR PUTERI, 12 OKT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera selepas diserang sekumpulan enam hingga lapan anjing liar ketika bermain di sebuah padang permainan berhampiran flat perumahan kos rendah di Lima Kedai di sini petang tadi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3 hingga 4 petang itu, mangsa dipercayai sedang bermain sebelum diserang sekumpulan anjing, menyebabkannya terjatuh dan berguling di padang ketika cuba menyelamatkan diri.

“Mujur ada seorang lelaki yang menyedari kejadian itu bertindak membaling batu ke arah anjing terbabit dari jauh, sekali gus membantu menyelamatkan kanak-kanak itu.

“Saya dimaklumkan oleh ketua kampung di kawasan terbabit sebelum bertindak pergi ke flat berkenaan untuk meninjau kawasan itu,” katanya.

Pandak berkata mangsa mengalami kecederaan pada bahagian mata, leher, kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata kejadian seperti itu amat membimbangkan dan memerlukan tindakan segera pihak berkuasa bagi menangani masalah anjing liar yang mengancam keselamatan penduduk.

Menurut Pandak, kejadian itu bukan insiden pertama di kawasan berkenaan apabila seorang remaja lelaki berusia 15 tahun turut diserang sekumpulan lapan anjing liar kira-kira 6 pagi hari yang sama.

“Remaja itu berjaya menghalau haiwan berkenaan sebelum melarikan diri ke tangga bangunan, namun mengalami kecederaan pada kaki.

“Saya telah bertemu remaja berkenaan dan memintanya mendapatkan rawatan di klinik berhampiran manakala kanak-kanak berusia tujuh tahun itu masih menerima rawatan di HSA,” katanya.

Pandak berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beliau difahamkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) akan menjalankan operasi pada malam ini bagi menangani masalah anjing liar di kawasan itu.

Beliau berkata tindakan sewajarnya perlu dilaksanakan segera meskipun berkemungkinan menerima bantahan daripada badan bukan kerajaan (NGO) demi memastikan keselamatan penduduk, khususnya kanak-kanak.

“Sampai bila kita hendak biarkan perkara ini berlaku? Takkan hendak tunggu ada kematian baru tindakan diambil?” katanya.

Dalam kejadian pada 5 September lepas, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Nur Haira Wafiqah Mohammad Hamizi dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas diserang lima anjing di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat.

Mangsa mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan akibat serangan haiwan berkenaan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.