KUALA LUMPUR, 15 OKT: Speed Selangor 2.0 yang akan diperkenalkan pada 2027 dijangka memperkukuh kecekapan kelulusan projek berimpak tinggi, susulan kejayaan inisiatif sedia ada memudah cara pembangunan di Cyberjaya dan Elmina.
Timbalan Pengarah Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor Norazlina Yusof berkata, antara pencapaian Speed Selangor ialah kelulusan projek pusat data di Cyberjaya dalam tempoh lima hari.
"Pembangunan Hab Logistik Termaju Elmina pula diluluskan dalam tujuh hari, manakala dua pusat data berskala hiperskala di Elmina Business Park mengambil masa sembilan hari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Pelaburan Selangor (SIF) 2026 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurut Norazlina, inisiatif itu memberi tumpuan kepada projek strategik yang menyokong pertumbuhan pelaburan, khususnya dalam sektor perindustrian dan teknologi.

“Antara pembangunan yang diberi keutamaan ialah kilang, gudang dan kemudahan logistik yang menjadi infrastruktur penting kepada sektor pembuatan, teknologi serta rantaian bekalan.
“Bagi kategori komersial pula, inisiatif ini meliputi hospital swasta, universiti swasta dan institusi pendidikan swasta,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan Speed Selangor bertujuan memendekkan tempoh menunggu kelulusan kebenaran merancang, menyeragamkan prosedur permohonan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
“Peringkat penilaian awal dan praperundingan diperuntukkan selama 21 hari, merangkumi semakan kelayakan projek serta kelengkapan dokumen sokongan.
“Proses pertimbangan dan keputusan permohonan pula ditetapkan dalam tempoh sembilan hari,” katanya.
Sebagai rekod, Speed Selangor dilancarkan pada 8 Oktober 2025 bagi mempercepat urusan kelulusan pembangunan dan pelesenan perniagaan di negeri ini.
Pelaksanaannya membabitkan semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan sasaran kelulusan maksimum 30 hari bagi permohonan lengkap yang memenuhi syarat, berbanding tempoh tiga hingga 12 bulan sebelum ini.
Sementara itu, SIBS 2026 yang berlangsung selama empat hari hingga 17 Oktober menyasarkan potensi nilai transaksi RM8 bilion serta sekurang-kurangnya 500 sesi padanan perniagaan berimpak tinggi.
Penganjuran edisi ke-10 itu menjadi platform mempertemukan pelabur dan pemain industri tempatan serta antarabangsa bagi meneroka peluang pelaburan, membina jaringan perniagaan dan memperluas kerjasama strategik.









