TANJONG SEPAT, 18 OKT: Penduduk Tanjong Sepat berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan dan maklumat kerajaan secara terus menerusi Program MADANI Kita 2026 di Dataran Pantai Batu Laut di sini, hari ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Sepat Datuk Borhan Aman Shah berkata program itu memudahkan urusan masyarakat apabila pelbagai jabatan dan agensi berkumpul di satu lokasi, tanpa perlu mengunjungi pejabat berlainan.
“Melalui program seperti ini, penduduk Tanjong Sepat dapat manfaat dan memudahkan urusan, malah jabatan dan agensi kerajaan sendiri turun padang untuk mendekati masyarakat serta memberikan perkhidmatan secara langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program MADANI Kita 2026 yang menghimpunkan wakil agensi kerajaan bersama masyarakat setempat.

Menurut Borhan, penganjuran program berkenaan turut memperlihatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan penyampaian perkhidmatan lebih berkesan.
Dalam masa sama, beliau menekankan keperluan pembangunan Tanjong Sepat dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberi perhatian kepada infrastruktur, peluang ekonomi, perumahan, pendidikan dan kebajikan penduduk.
“Pembangunan bukan sekadar membina kemudahan baharu, tetapi bagaimana pembangunan itu dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Program tersebut turut menawarkan pelbagai pengisian termasuk pameran agensi kerajaan, sesi penerangan, aktiviti kemasyarakatan dan jualan untuk manfaat pengunjung.
Sementara itu, Borhan berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan, khususnya bagi memudahkan masyarakat luar bandar dan perkampungan mengakses kemudahan kerajaan tanpa perlu menempuh urusan yang rumit.
Beliau turut menyifatkan pendekatan turun padang itu penting bagi mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan, pemimpin dan masyarakat setempat.








