Anak ketagih gajet? Ini tiga tanda amaran ibu bapa perlu tahu

28 Okt 2026, 3:00 AM
Anak ketagih gajet? Ini tiga tanda amaran ibu bapa perlu tahu
Anak ketagih gajet? Ini tiga tanda amaran ibu bapa perlu tahu
Anak ketagih gajet? Ini tiga tanda amaran ibu bapa perlu tahu
Anak ketagih gajet? Ini tiga tanda amaran ibu bapa perlu tahu

ANAK mengamuk apabila telefon diambil atau sukar berhenti menggunakan gajet? Keadaan ini mungkin petanda penggunaan berlebihan, namun tidak semestinya menunjukkan ketagihan.

Kajian Universiti Malaya pada 2021 terhadap kanak-kanak prasekolah berusia lima dan enam tahun di Semenanjung Malaysia mendapati 51.6 peratus mula menggunakan peranti digital secara sendiri sebelum usia empat tahun.

Kajian yang dilaporkan pada Januari 2026 itu turut mendapati purata penggunaan telefon pintar atau tablet mencecah 3.7 jam sehari ketika hari persekolahan dan meningkat kepada 6.2 jam ketika cuti sekolah.

Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata ketagihan gajet bukan hanya diukur berdasarkan tempoh penggunaan, sebaliknya turut melibatkan kehilangan kawalan diri dan kebergantungan psikologi.

Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali.

Menurut pensyarah kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, ibu bapa perlu meneliti sama ada tabiat berkenaan menjejaskan rutin harian, pembelajaran dan hubungan sosial anak.

Beliau menjelaskan satu episod kemarahan apabila gajet diambil tidak memadai untuk menentukan seseorang kanak-kanak mengalami ketagihan.

Sebaliknya, penilaian perlu mengambil kira corak tingkah laku yang berulang dan berpanjangan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Tanda amaran ibu bapa perlu peka

Terdapat beberapa tanda amaran yang perlu diperhatikan ibu bapa, termasuk perubahan fizikal, tingkah laku, emosi dan psikologi anak. Bagaimanapun, tanda tersebut tidak semestinya mengesahkan ketagihan gajet.

Mudah marah, suka menyendiri dan hilang minat terhadap aktiviti harian antara tanda penggunaan gajet bermasalah. Ilustrasi janaan AI

1. Perubahan fizikal

  • Tidur terganggu akibat penggunaan gajet hingga lewat malam.

  • Kerap letih pada waktu siang.

  • Mengalami sakit kepala atau ketegangan mata.

  • Kurang melakukan aktiviti fizikal.

2. Perubahan tingkah laku

  • Mengabaikan kerja sekolah dan tanggungjawab harian.

  • Kurang berinteraksi dengan keluarga dan lebih suka menyendiri bersama gajet.

  • Hilang minat terhadap aktiviti yang sebelum ini digemari.

  • Menggunakan telefon secara sembunyi atau melanggar peraturan.

  • Berulang kali gagal mengurangkan masa skrin walaupun sudah berjanji.

    Kebergantungan kepada gajet boleh mengganggu tumpuan kanak-kanak terhadap pembelajaran dan tanggungjawab harian. Ilustrasi janaan AI

3. Perubahan emosi dan psikologi

  • Mudah marah, gelisah atau resah apabila gajet diambil.

  • Menunjukkan reaksi emosi keterlaluan atau sukar menerima teguran.

  • Terlalu bergantung pada gajet untuk menghilangkan kebosanan, kesedihan atau tekanan.

  • Sukar mengurus emosi tanpa bantuan skrin.

  • Hilang kawalan penggunaan walaupun menyedari kesan buruknya.

  • Terus menggunakan gajet sehingga menjejaskan tidur, pembelajaran dan hubungan sosial.

Ibu bapa perlu jadi teladan

Pencegahan bermula di rumah kerana kanak-kanak cenderung meniru tingkah laku orang dewasa.

Penggunaan gajet bukan satu kesalahan, namun ia perlu disertai dengan pemantauan ibu bapa bagi memastikan anak-anak mengakses kandungan yang sesuai dengan usia serta tahap kematangan mereka. Gambar Hiasan AI

Jika ibu bapa kerap menggunakan telefon ketika makan, berbual atau meluangkan masa bersama keluarga, anak mungkin menganggap tabiat itu sebagai perkara biasa.

Justeru, ibu bapa perlu menunjukkan contoh penggunaan teknologi yang sihat sebelum menetapkan peraturan kepada anak.

Lima langkah cegah kebergantungan gajet

1. Tetapkan had penggunaan skrin

Wujudkan peraturan yang jelas dan konsisten mengikut usia anak, termasuk mengelakkan penggunaan gajet ketika makan dan sebelum tidur.

2. Galakkan aktiviti alternatif

Gantikan masa skrin dengan aktiviti fizikal, membaca, permainan kreatif dan masa berkualiti bersama keluarga.

3. Didik anak mengurus emosi

Bimbing anak mengenali perasaan dan menenangkan diri tanpa bergantung kepada telefon setiap kali bosan, sedih atau marah.

Aktiviti alternatif dan bimbingan ibu bapa penting bagi mengurangkan kebergantungan kanak-kanak kepada gajet. Ilustrasi janaan AI

4. Pantau aktiviti dalam talian

Ambil tahu kandungan yang ditonton, permainan yang dimainkan serta individu yang berinteraksi dengan anak.

5. Gunakan kawalan keselamatan digital

Aktifkan ciri kawalan ibu bapa dan tetapan keselamatan mengikut usia serta perkembangan anak.

Namun, pemantauan perlu disertai penerangan supaya anak memahami kepentingan keselamatan digital dan kawalan kendiri, bukan sekadar mematuhi larangan.

Teknologi bukan musuh kanak-kanak

Gajet bukan sesuatu yang perlu dijauhi sepenuhnya. Sebaliknya, penggunaan tanpa kawalan, bimbingan dan keseimbangan boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak.

Menurut Shazli, ketagihan gajet tidak wajar dianggap sebagai masalah disiplin semata-mata kerana turut berkait dengan perkembangan psikologi, pembentukan tabiat, kawalan emosi dan persekitaran keluarga.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membimbing anak menggunakan gajet secara terkawal dan seimbang. Ilustrasi janaan AI

Perlindungan kanak-kanak dalam dunia digital juga memerlukan kerjasama ibu bapa, sekolah, masyarakat, penyedia platform dan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pada masa sama, literasi psikologi ibu bapa, pengesanan awal penggunaan digital bermasalah dan akses kepada intervensi psikologi profesional perlu diperkukuh.

Anak bukan sekadar perlu celik teknologi, tetapi juga bijak mengurus emosi, tingkah laku dan hubungan sosial.

Gajet boleh menjadi semakin pintar, tetapi anak tetap memerlukan bimbingan untuk menggunakannya dengan bijak.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.