Kerugian scam Selangor cecah RM986 juta, penguatkuasaan tegas perlu dipertimbang

27 Okt 2026, 5:00 AM
Kerugian scam Selangor cecah RM986 juta, penguatkuasaan tegas perlu dipertimbang

SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan Selangor berpandangan pendekatan lebih tegas perlu dipertimbangkan bagi membendung kegiatan penipuan dalam talian atau ‘scam’ susulan peningkatan kes yang dilihat memerlukan tindakan lebih daripada sekadar kempen kesedaran.

EXCO Infrastruktur Digital, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata aspek penguatkuasaan berkaitan jenayah siber berada di bawah bidang kuasa agensi Persekutuan dan bukan Kerajaan Negeri.

“Kuasa penguatkuasaan berada pada agensi Persekutuan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Bank Negara Malaysia (BNM). Ini di luar bidang kuasa negeri.

“Antara peruntukan undang-undang yang digunakan bagi menangani kes berkaitan termasuk Akta Jenayah Komputer 1993 [Akta 563], Akta 574 berkaitan penipuan dan pecah amanah serta Akta 588 berkaitan penyalahgunaan platform digital,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Mohammad Fahmi, usaha membendung kegiatan ‘scam’ juga perlu mengambil kira ekosistem yang membolehkan kegiatan berkenaan berlaku termasuk penggunaan perkhidmatan telekomunikasi.

Katanya, sekiranya kegiatan penipuan berlaku melalui penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco), campur tangan lebih tegas perlu diteliti bagi menghalang pemberian lesen perkhidmatan terutama yang melibatkan pengguna di Selangor.

“Namun, jika data ‘scam’ terus meningkat, kita perlu melihat apakah tindakan lebih agresif yang boleh dilaksanakan agensi berkaitan selain kempen kesedaran yang dilaksanakan yang ternyata kurang berkesan?

“Sekiranya ruang ‘scam’ ini menerusi perkhidmatan telco yang dibekalkan oleh penyedia telco, adakah Kerajaan Negeri perlu mula campur tangan secara agresif untuk menghalang pemberian lesen perkhidmatan terutama yang melibatkan pengguna di Selangor?” katanya.

Perkembangan itu turut menekankan keperluan memperkukuh usaha membendung kegiatan penipuan dalam talian secara lebih menyeluruh termasuk melalui pendekatan pencegahan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi melindungi pengguna.

Sebelum ini, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour memaklumkan Selangor merekodkan kerugian tertinggi akibat penipuan dalam talian apabila mangsa kehilangan RM986.79 juta pada 2025.

Jumlah itu hampir satu pertiga daripada keseluruhan RM2.97 bilion kerugian akibat ‘scam’ yang direkodkan di Malaysia pada tahun berkenaan.

Beliau berkata jumlah kerugian di Selangor meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM446.16 juta pada 2024, sekali gus menunjukkan ancaman penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.