Hari ini, 27 November pada 1987, Muzium Kanak-Kanak pertama negara dilancarkan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan ketika itu, Dato’ Sabbaruddin Chik.
Detik bersejarah itu menyaksikan beliau menurunkan tandatangan pada sekeping kad besar berukuran hampir setinggi seorang dewasa, yang kemudian dipamerkan sebagai simbol permulaan sebuah institusi ilmu khusus buat generasi muda.
Bertempat di tingkat satu dan dua bangunan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, muzium itu dibangunkan dengan kos RM1 juta.
Lokasinya yang strategik di tengah bandar menjadikannya mudah dikunjungi keluarga, guru dan kanak-kanak dari seluruh negara.
Ketengah pelbagai koleksi
Muzium ini menampilkan pelbagai koleksi yang bukan sekadar menghiburkan, malah membantu perkembangan awal kanak-kanak.
Antara yang dipamerkan ialah permainan tradisional, bahan pameran mengenai perkembangan awal manusia, seni, budaya, hasil pertukangan tangan dan teknologi seperti komputer.
Setiap segmen pameran direka untuk merangsang minat, rasa ingin tahu dan kreativiti kanak-kanak, menjadikannya bukan sekadar ruang pameran, tetapi satu pengalaman pembelajaran yang hidup.

Pusat gilap bakat generasi masa depan
Lebih daripada sekadar muzium, ruang itu juga berfungsi sebagai pusat sumber bagi kanak-kanak menunjukkan bakat mereka dalam pelbagai bidang.
Di sinilah lahirnya semangat awal untuk mereka mencuba melukis, mencipta, bermain alat muzik atau meneroka dunia sains dengan cara yang menyeronokkan.
Selain mempamerkan sejarah dan budaya, muzium berkenaan membuka peluang untuk anak-anak mengenal diri mereka sendiri.
Asas pembangunan kanak-kanak
Penubuhan muzium itu membawa mesej besar kepada pembangunan kanak-kanak yang menjadi asas kepada pembentukan insan seimbang daripada segi emosi, mental dan fizikal.
Dengan menyediakan ruang khusus untuk mereka belajar melalui pengalaman, negara menunjukkan komitmen bahawa suara dan potensi kanak-kanak juga perlu diberi keutamaan sejak dari kecil.


