SUBANG JAYA, 18 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melancarkan projek rintis mikromobiliti di SS15 bagi menilai aspek keselamatan, penggunaan serta keperluan peraturan di kawasan komersial dan pendidikan yang sibuk.
Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata projek perintis e-skuter yang bermula Januari lalu itu bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan masalah parkir, selain menyokong perhubungan jarak terakhir untuk penumpang, pelajar dan penduduk.
Setakat ini, tiada kemalangan dilaporkan sejak pelaksanaannya dengan purata penggunaan sekitar 100 perjalanan setiap minggu.
“Saya percaya tidak semua, khususnya pelajar, memiliki kereta. Jadi projek ini memainkan peranan penting untuk membantu mereka bergerak,” katanya pada sidang media selepas pelancaran projek berkenaan berhampiran Stesen LRT SS15, hari ini.

Inisiatif yang akan berlangsung hingga 31 Januari 2027 itu dilengkapi zon parkir khas, infrastruktur keselamatan, had kelajuan serta teknologi pagar maya (geofencing), dengan pengguna diwajibkan mendaftar melalui aplikasi Beam Mobility sebelum menggunakan e-skuter.
MBSJ menerima kelulusan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk melaksanakan projek perintis selama dua tahun bermula Februari 2025 hingga Januari 2027 bagi menguji aspek keselamatan dan operasi.
Michelle Ng berkata, langkah keselamatan dipertingkat berbanding pengendali e-skuter sebelum ini, termasuk keperluan pengguna lulus ujian keselamatan dalam aplikasi sebelum boleh mengaktifkan skuter.
Sementara itu, Pengurus Besar Beam Mobility Malaysia, Nathaniel Ong-Samuel berkata, teknologi pagar maya dalam aplikasi akan mengehadkan penggunaan e-skuter di kawasan dibenarkan serta memperlahankan atau mematikan pergerakan jika melepasi zon ditetapkan.
“Semua langkah keselamatan ini dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna, pemandu kenderaan dan pejalan kaki terjamin,” katanya.

Sebanyak 45 e-skuter disediakan di tiga lokasi utama iaitu Stesen LRT SS15, hadapan Q Bistro di Jalan SS15/4G dan Asia e University di Jalan SS15/4.
Mengenai maklum balas awam, Michelle Ng berkata pelbagai reaksi diterima setakat ini, dengan golongan muda dilihat lebih menyokong kerana kemudahan serta manfaat terhadap alam sekitar.
“Secara keseluruhan, khususnya dalam kalangan generasi muda, mereka melihat ini sebagai langkah ke hadapan, terutama dalam menangani perubahan iklim,” katanya.
Pada masa sama, pihaknya turut mempertimbangkan perluasan projek ke kawasan lain seperti Sunway, Puchong dan USJ bergantung kepada hasil penilaian sepanjang tempoh percubaan.









