SHAH ALAM, 16 NOV: Sebanyak lapan kenderaan ditunda ke Depoh Tunda Cyberjaya dalam operasi penguatkuasaan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bagi menangani parkir haram.
Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Facebook memaklumkan, operasi dijalankan di Persiaran Multimedia, Lingkaran Cyberpoint Timur, Jalan Teknokrat 5 dan Jalan Teknokrat 7, kawasan tumpuan komersial yang termasuk dalam Zon Tunda Cyberjaya.
"Operasi ini memberi tumpuan kepada rondaan penundaan kenderaan yang diletakkan secara tidak sah serta tindakan siasatan aduan awam berkaitan halangan lalu lintas," katanya.
Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan di bawah Peruntukan 8(1), Undang-Undang Kecil Taman (Majlis Perbandaran Sepang) 2005 kerana meletakkan kenderaan motor di mana-mana tempat dalam taman.
MPSepang menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang, kelancaran trafik dan keselamatan orang awam. Pemilik kenderaan yang ditunda masih belum menjelaskan bayaran di Depoh Tunda.
Orang ramai dinasihatkan mematuhi peraturan parkir bagi mewujudkan persekitaran lebih selamat, teratur dan selesa.




