SHAH ALAM, 3 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengeluarkan dua Notis Kompaun (NTK) serta melaksanakan 21 tindakan sitaan terhadap penjaja tanpa lesen dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar Cyberjaya pada 29 Januari lalu.
MPSepang memaklumkan operasi tersebut memberi tumpuan kepada pemantauan dan tindakan sitaan terhadap penjaja yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah, khususnya di kawasan tapak projek dan lokasi awam yang tidak dibenarkan.
“Operasi melibatkan kawasan Persiaran Sepang (Lakefront), Persiaran Multimedia dan Persiaran Cyberpoint Selatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Daripada 21 tindakan sitaan yang dilaksanakan, dua melibatkan penjaja warganegara manakala 19 lagi membabitkan penjaja warga asing.
“Tindakan sitaan dijalankan di bawah Peruntukan 3, Undang-Undang Kecil Penjaja (Majlis Perbandaran Sepang) 2007 – Menjaja tanpa lesen,” katanya.
Dalam pada itu, MP Sepang menasihatkan semua penjaja agar tidak menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen sah serta sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang kecil yang berkuat kuasa.
“Kami akan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan kawasan pentadbiran sentiasa teratur, selamat dan bebas daripada penjaja haram,” tegasnya.


