Pelabur, pesara terharu terima jemputan ke Jamuan Teh Diraja

24 Okt 2026, 2:00 PM
Pelabur, pesara terharu terima jemputan ke Jamuan Teh Diraja

KLANG, 24 OKT: Peluang menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Alam Shah menjadi pengalaman istimewa dan penuh bermakna buat seorang pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Gamalux Sdn Bhd, Usman Ahmed berkata, jemputan ke majlis berprestij itu memberinya peluang menyaksikan sendiri kemeriahan istiadat diraja yang turut dihadiri kenamaan dan tetamu kehormat.

“Saya teruja dengan majlis hari ini. Ini adalah sambutan Jubli Perak dan tempoh 25 tahun merupakan satu masa yang panjang. Sebagai pelabur yang bertapak di Pulau Indah, saya menghargai peluang ini.

“Para pelabur juga sangat menghargai Kerajaan Selangor dan para pemimpinnya termasuk Invest Selangor kerana banyak membantu kami meluaskan pelaburan,” katanya kepada Media Selangor.

Majlis hari ini yang meraikan kira-kira 1,500 tetamu terdiri daripada pesara, pelabur dan penjawat awam merupakan siri terakhir daripada lima siri yang disusun dalam program bersempena 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin.

Sementara itu, pesara Kementerian Kesihatan Malaysia, Ahmad Zainuddin Kambali, 66, berkata beliau bersemangat hadir ke majlis hari ini malah sanggup membeli pakaian baharu demi memastikan penampilannya sesuai dengan persekitaran istana.

Katanya, beliau juga tekun mendengar taklimat berhubung perjalanan serta protokol majlis yang disampaikan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, semalam.

“Bila dijemput, rasa seronok dan bangga sangat. Saya belum pernah berdepan dengan Sultan Selangor. Ini pertama kali. Untuk baju, saya sanggup beli baharu supaya penampilan sesuai demi berjumpa Sultan Selangor,” katanya.

Sebelum ini, majlis sama turut diadakan bagi meraikan pelbagai pihak antaranya kumpulan kerabat diraja, rakyat, anak yatim dan anak-anak spastik.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.