AT&S pilih Malaysia sebagai hab utama, bukti keyakinan pelabur global

4 Jun 2026, 11:44 PM
AT&S pilih Malaysia sebagai hab utama, bukti keyakinan pelabur global

SHAH ALAM, 5 JUN: Keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia terus kukuh apabila syarikat teknologi global, AT&S Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft (AT&S), menjadikan negara ini antara hab pengeluaran utamanya di peringkat dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dizahirkan menerusi pertemuannya dengan Ketua Pegawai Eksekutif AT&S, Dr Michael Mertin, semalam bagi membincangkan perkembangan semasa operasi syarikat berkenaan di Kulim, Kedah.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau memaklumkan AT&S Malaysia kini menggaji kira-kira 2,700 tenaga kerja tempatan.

Menurut Anwar, Malaysia merupakan antara hab pengeluaran utama syarikat itu selain Austria, China dan India, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pelabur global terhadap keupayaan serta daya saing negara.

“AT&S merupakan antara peneraju global dalam pengeluaran substrat litar bersepadu (IC) bernilai tinggi dan papan litar bercetak, selain membangunkan teknologi perhubungan canggih yang menyokong pelbagai industri strategik termasuk peranti mudah alih, automotif, aeroangkasa, perubatan, perindustrian serta pengkomputeran berprestasi tinggi bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif AT&S Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft (AT&S), Dr. Michael Mertin, bersama delegasi syarikat itu pada 4 JUN 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan terus memberikan sokongan jelas dan konsisten kepada pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global.

Beliau berkata pelaburan berimpak tinggi seperti itu bukan sahaja merancakkan pertumbuhan industri teknologi negara, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.

“Keyakinan yang ditunjukkan oleh pelabur antarabangsa seperti AT&S merupakan cerminan kestabilan politik negara, pengurusan ekonomi yang berhemat serta kejelasan dasar Kerajaan MADANI,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif AT&S Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft (AT&S), Dr. Michael Mertin, bersama delegasi syarikat itu pada 4 JUN 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.