KUALA LUMPUR, 8 DIS: Selangor menekankan prinsip memudah cara perniagaan bagi menarik pelaburan strategik, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi pilihan pelaburan strategik dan jangka panjang, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu bukan perkara baharu, sebaliknya telah dilaksanakan secara konsisten dalam beberapa tahun kebelakangan ini melalui Dasar Kelulusan 100 hari serta pelaksanaan Dasar Speed Selangor bertujuan mempercepat dan mempermudah proses pelaburan di negeri ini.
“Sekarang kita fokus untuk transformasi pihak berkuasa tempatan (PBT), terutama kelulusan daripada 3.5 bulan kepada 14 hari untuk projek industri di Selangor. Sudah pasti kena selesaikan isu tanah dulu.
“Biasanya ada dua isu berbeza iaitu tanah dan kelulusan daripada pihak PBT. Isu tanah kita sudah selesaikan pada tahun 2020 melalui dasar Dasar Kelulusan 100 hari.
“Dari 2020 kita pendekkan kelulusan tanah kepada tiga bulan berbanding enam bulan sebelum itu. Pada 2025 kita tambah baik lagi, dengan memudah cara perniagaan sebagai penanda aras dengan memperkenal Dasar Speed Selangor,” katanya.
Beliau berucap merasmikan majlis pecah tanah pembangunan pusat pengedaran berautomasi penuh hasil usahasama Sime Darby Property Berhad dan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) di sini, hari ini.
Terletak di City of Elmina, pusat berkenaan dijangka meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan pengedaran barangan keperluan rakyat, sekali gus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab logistik utama negara.
Dijangka siap pada suku ketiga 2027, ia bakal mengguna pakai automasi dan pendigitalan secara meluas termasuk penggunaan robotik, sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (AS/RS) serta analitik data masa nyata.
Pada Oktober lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Speed Selangor bagi mempercepat dan mempermudahkan proses kelulusan pembangunan serta pelesenan perniagaan.
Inisiatif itu turut mengurangkan tempoh kelulusan daripada tiga bulan kepada maksimum 30 hari bagi projek industri dan komersial strategik berimpak tinggi.
Speed Selangor juga menekankan prinsip memudah cara perniagaan dengan memastikan kepantasan dan kecekapan di peringkat PBT tanpa menjejaskan elemen ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan.


