KLANG, 20 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Kerabat Diraja Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda sekitar jam 3.15 petang turut disambut DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama isteri, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.

Majlis dimulakan dengan sembah ucapan oleh Engku Setia Lela Bestari, Raja Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj sebelum diteruskan dengan titah ucapan Sultan Sharafuddin.
Pada majlis sama, Sultan Selangor berkenan memotong pulut kuning selain menerima persembahan cenderamata daripada anak-anak Raja Bergelar, Orang-Orang Besar Bergelar dan Orang-Orang Besar Istana.
Baginda turut berkenan melancarkan Buku Salasilah Keturunan Sultan, Waris dan Kerabat Diraja Selangor, selain majlis diserikan dengan persembahan oleh Kombo Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan kerabat Diraja Selangor.

Lebih 1,500 kerabat Diraja Selangor hadir pada majlis berkenaan yang turut menjadi ruang mengeratkan silaturahim serta menzahirkan taat setia kepada Sultan Selangor.
Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu Selangor sebelum Sultan Sharafuddin, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Tengku Amir Shah serta Datin Paduka Seri Afzaa Fadini berangkat pulang dan bersalaman dengan kerabat Diraja Selangor yang hadir.
Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat Siri Kedua akan berlangsung esok pada jam 3 petang di lokasi sama manakala pada 22 Oktober, Sultan Selangor dijadual berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Anak Yatim dan Spastik.










