KUALA LUMPUR, 16 OKT: Ekspo Pelaburan dan Taman Industri Selangor (SPARK) 2026 membuka ruang kepada syarikat memperkenalkan produk serta perkhidmatan, meluaskan jaringan industri dan meneroka peluang perniagaan, termasuk dengan pelabur berpotensi.
Pengurus Besar Tall Innovations Sdn Bhd, Susan Ho berkata penyertaan dalam pameran sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) 2026 itu memberi pendedahan kepada syarikat untuk bertemu bakal pelabur dan memperkenalkan tawaran perniagaan mereka.
Bagaimanapun, katanya, kebanyakan pengunjung yang ditemui setakat ini lebih cenderung membuat kajian terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan pelaburan, berbanding membuat keputusan secara langsung.

“Setakat ini, saya melihat mereka lebih kepada membuat kajian berbanding terus mengesahkan pelaburan secara menyeluruh.
“Mereka datang, membuat sedikit kajian, dan mahu bermula secara kecil-kecilan dahulu untuk melihat perkembangannya,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Jurutera Projek Universal Precast Systems, Irza Dinda Nirawati Utami berkata penyertaan syarikat dalam SPARK bertujuan memperkenalkan perkhidmatan Schematic Precast System (SPS) yang masih baharu dalam industri kepada orang ramai dan pemain industri.
Menurutnya, sepanjang tiga hari menyertai pameran itu, pihaknya berpeluang membina hubungan dengan kenalan baharu, selain memperkenalkan produk serta projek yang sudah disiapkan dan masih dalam pelaksanaan.

Beliau berkata sambutan pengunjung juga menggalakkan apabila ramai menunjukkan minat terhadap produk yang ditawarkan.
“Pengalaman ini sangat baik kerana kami berpeluang menerangkan produk kepada pengunjung secara langsung dan memperkenalkan apa yang syarikat kami tawarkan,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Eksekutif Teknikal Kanan Malaysia Rail Link, Nazarudin Ahmad Muzir berkata penyertaan pihaknya dalam SPARK bertujuan mempromosikan perkhidmatan kargo Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada syarikat dan masyarakat.
Katanya, pameran itu menjadi platform untuk memperkenalkan potensi ECRL sebagai pilihan pengangkutan kargo kepada pemain industri, termasuk bagi pergerakan barangan yang menghubungkan kawasan Pelabuhan Kuantan dengan Pelabuhan Barat.

Beliau berharap pendedahan itu dapat mendorong lebih banyak syarikat memanfaatkan perkhidmatan berkenaan bagi memenuhi keperluan pengangkutan dan logistik mereka.
“Kami mengharapkan pengangkutan yang kami sediakan digunakan, dimaksimumkan sepenuhnya oleh pemain industri di kawasan perkilangan, bukan sahaja ke arah utara, tetapi juga ke Pantai Timur,” katanya.
SPARK 2026 merupakan antara komponen SIBS 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 14 hingga 17 Oktober, menghimpunkan pemain industri dan syarikat untuk meneroka peluang perdagangan, pelaburan serta kerjasama perniagaan.










