Sultan Selangor seru umat Islam merdeka daripada kerakusan, pecah amanah

28 Ogos 2026, 10:15 AM
Sultan Selangor seru umat Islam merdeka daripada kerakusan, pecah amanah
Sultan Selangor seru umat Islam merdeka daripada kerakusan, pecah amanah
Sultan Selangor seru umat Islam merdeka daripada kerakusan, pecah amanah
Sultan Selangor seru umat Islam merdeka daripada kerakusan, pecah amanah

SHAH ALAM, 28 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru umat Islam membebaskan diri daripada hawa nafsu, ketamakan dan pengkhianatan amanah bagi mencapai erti kemerdekaan yang hakiki.

Baginda bertitah, kemerdekaan sebenar bermula dengan kemampuan mengawal diri daripada perkara yang boleh merosakkan kehidupan, selain memastikan kuasa dan amanah tidak disalahgunakan demi kepentingan peribadi.

“Baginda bimbang, ketika rakyat bergelut dengan kesusahan, segelintir pihak pula menikmati kekayaan hasil amanah yang dikhianati dan keadilan yang dipermainkan.

“Inilah kezaliman yang lahir apabila kuasa tidak lagi dipandu dengan sifat amanah, sebaliknya dikuasai dengan kerakusan nafsu,” titah Baginda menerusi hantaran Selangor Royal Office di Facebook hari ini.

Baginda turut mengingatkan mengenai tanda-tanda kerosakan amanah yang semakin ketara apabila tanggungjawab diberikan kepada mereka yang tidak berkelayakan, manakala amanah pula dikhianati demi kepentingan diri.

“Sedar ataupun tidak, tanda-tanda kehidupan di akhir zaman semakin jelas terasa. Zaman di mana amanah diuruskan oleh mereka yang bukan berkelayakan. Zaman di mana amanah dikhianati demi kepentingan diri,” titah Baginda.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menyeru umat Islam menjauhi sikap pecah amanah kerana perbuatan tersebut boleh meruntuhkan kepercayaan serta menghilangkan keberkatan dalam kehidupan bermasyarakat.

Baginda turut menegaskan setiap amanah perlu dilaksanakan dengan penuh kejujuran, walaupun kecil, kerana ia menjadi asas kepada kesejahteraan dan kemerdekaan yang hakiki.

“Setiap individu yang diberi tanggungjawab mengurus harta dan kepentingan umat ini atau pihak yang diberi kuasa mengurus dana awam, hakikatnya memikul tanggungjawab yang amat besar di sisi Allah SWT.

“Sesungguhnya, mengurus dana awam dengan amanah ialah tanda cinta kita kepada umat dan negara. Jangan biarkan harta yang sepatutnya memberi manfaat kepada umat diseleweng demi kepentingan peribadi,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menegaskan mereka yang melakukan kesalahan perlu dihukum, manakala pihak yang amanah wajar disokong dan sistem yang baik terus diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Yang bersalah wajib dihukum, yang amanah wajib disokong dan sistem yang baik hendaklah terus diperbaiki dari masa ke masa. Semoga Allah SWT meletakkan perbendaharaan umat Islam Malaysia di tangan hamba-hamba-Nya yang bertakwa lagi amanah,” titah Baginda.

Baginda pada masa sama mengingatkan agar mereka yang melakukan kezaliman tidak menyangka akan terlepas daripada pengadilan Allah SWT.

“Hakikatnya Allah SWT sengaja menangguhkan azab ke atas mereka yang zalim agar mereka merasakan betapa dahsyat dan gerunnya kemurkaan Allah SWT,” titah Sultan Sharafuddin.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Tahlil sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-69 peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Keberangkatan Baginda yang diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Baginda turut berkenan mendengar khutbah Jumaat bertajuk “Merdeka daripada Belenggu Kerakusan”.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.