SHAH ALAM, 24 OKT: Orang ramai dipelawa mengemukakan maklum balas terhadap laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi cadangan pembangunan Seksyen D projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pelabuhan Klang.
Datuk Bandar Klang berkata laporan berkenaan melibatkan jajaran dari Jalan Kastam ke Pelabuhan Utara dan Barat serta boleh diteliti di ibu pejabat pihak berkuasa tempatan itu, lapor The Star.
Menurut Datuk Abd Hamid Hussain, tempoh pameran laporan itu berlangsung sehingga 17 November bagi membolehkan orang ramai menilai cadangan pembangunan dan kesannya terhadap alam sekitar.
“Orang ramai boleh mengemukakan pandangan, ulasan atau maklum balas yang membina sepanjang tempoh pameran.
“Saya menggalakkan masyarakat mengambil bahagian kerana pandangan mereka penting dalam menyokong pembangunan mampan dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya seperti dilaporkan portal itu.
Berdasarkan pemberitahuan rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS), laporan EIA berkenaan dipamerkan mulai 19 Oktober hingga 17 November 2026, manakala ulasan awam boleh dikemukakan sehingga 2 Disember.
Abd Hamid berkata pelaksanaan ECRL dijangka meningkatkan kesalinghubungan antara Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung, selain menyediakan alternatif kepada perjalanan darat jarak jauh.
Beliau berkata rangkaian rel itu turut berpotensi merancakkan sektor pelancongan domestik dan antarabangsa serta meningkatkan kecekapan pengangkutan barangan.
“Hubungan pengangkutan kargo melalui ECRL dapat melancarkan pergerakan barangan, memperkukuh rantaian bekalan dan meluaskan akses pasaran kepada pengilang serta pengeluar hasil pertanian,” katanya.
Pada Februari 2025, Kementerian Pengangkutan mengumumkan kelulusan perubahan skop pembinaan Seksyen D kepada landasan berkembar sepanjang 25 kilometer.
Jajaran itu bagi meningkatkan kapasiti pengangkutan kargo serta membolehkan perkhidmatan ECRL dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) beroperasi secara berasingan.
Orang ramai boleh merujuk pemberitahuan dan dokumen EIA melalui saluran rasmi JAS untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai laporan serta kaedah mengemukakan ulasan.








