SHAH ALAM, 19 OKT: Pembinaan pasar awam kekal di Sentosa wajar diberi perhatian dalam Belanjawan Selangor 2027 bagi memenuhi keperluan penduduk yang kini hanya bergantung kepada pasar pagi dan pasar malam.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr Gunaraj George berkata kemudahan itu semakin diperlukan berikutan pertambahan penduduk dan pembangunan pesat di kawasan berkenaan.
"Di kawasan Sentosa ini biasanya hanya ada pasar pagi dan pasar malam. Tidak ada satu pasar yang lengkap.
"Apabila saya bertanya kepada majlis, mereka memaklumkan sedang mencari tapak yang sesuai, namun kekangannya ialah tiada tanah untuk pembinaan," katanya dalam program SKOP terbitan Media Selangor.
Menurut Gunaraj, sebagai langkah sementara, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menyediakan beberapa kawasan lapang bagi membolehkan lebih banyak pasar pagi diadakan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keperluan mewujudkan pasar awam kekal tidak boleh diketepikan bagi menampung permintaan masyarakat setempat.
"Kalau tidak ada tanah yang sesuai, Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan untuk memperoleh tanah daripada pemaju atau pemilik tanah bagi membolehkan pasar awam dibina kerana kemudahan itu amat diperlukan masyarakat," katanya.
Dalam perkembangan sama, Gunaraj turut mencadangkan pembinaan sebuah balai polis bagi meningkatkan tahap keselamatan di Sentosa.
Beliau berkata kawasan itu ketika ini hanya mempunyai pondok polis dengan bilangan anggota terhad, sedangkan keperluan keselamatan semakin meningkat seiring pertambahan penduduk.
"Sekarang statusnya hanyalah pondok polis dan anggotanya tidak ramai.
"Saya mencadangkan pemaju yang membangunkan projek perumahan atau komersial di kawasan ini membantu membina sebuah balai polis supaya lebih ramai anggota dapat ditempatkan di Sentosa," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap cadangan pembinaan pasar awam dan balai polis dapat dipertimbangkan dalam Belanjawan Selangor 2027 bagi menambah baik kemudahan serta keselamatan penduduk.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dijadual membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor pada 13 November ini.










