MBDK tubuh pasukan khas, banteras tapak pelupusan haram aktif

19 Okt 2026, 1:00 PM
MBDK tubuh pasukan khas, banteras tapak pelupusan haram aktif
MBDK tubuh pasukan khas, banteras tapak pelupusan haram aktif
MBDK tubuh pasukan khas, banteras tapak pelupusan haram aktif

SHAH ALAM, 19 OKT: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menubuhkan pasukan petugas khas bersama pelbagai agensi bagi membanteras aktiviti pembuangan sisa binaan haram susulan 21 tapak pelupusan haram masih aktif di bandar raya itu.

Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain berkata tindakan itu diambil berikutan semakin ramai kontraktor tidak bertanggungjawab menjadikan tanah kosong, khususnya di kawasan pinggir bandar, sebagai lokasi pembuangan sampah haram.

Menurutnya, Jawatankuasa Kecil Tapak Pelupusan Haram Daerah Klang ditubuhkan dengan penglibatan jabatan penguat kuasa MBDK serta agensi kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan Tanah, Pejabat Tanah dan Galian, polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Aktiviti pembuangan sampah haram ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan bandar diraja, malah turut menimbulkan ancaman serius terhadap alam sekitar, kesihatan awam dan sistem saliran.

“Ia menyebabkan laluan air tersumbat dan meningkatkan risiko banjir kilat di seluruh daerah,” katanya lapor The Star.

Untuk rekod, ketika ini Klang mempunyai 21 tapak pelupusan haram yang masih aktif yang terletak di kawasan sekitar Meru, Johan Setia dan Pelabuhan Klang.

Dalam pada itu, Abd Hamid berkata MBDK tidak akan bertoleransi terhadap pesalah termasuk mengenakan denda tinggi, diwajibkan menanggung kos pembersihan serta berdepan tindakan penyitaan kenderaan.

“Pemaju dan kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian rumah diingatkan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang untuk melupuskan sisa pembinaan di tapak pelupusan berlesen yang ditetapkan,” katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.